Kerajaan Sarawak setuju secara prinsip ambil alih MASwings

Astro Awani
Jun 15, 2023 15:05 MYT
Abang Johari berkata, pengambilalihan tersebut adalah hasil cadangan balas kerajaan persekutuan, selepas kerajaan Sarawak mengemukakan cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butiknya sendiri sebelum ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mencapai persetujuan secara prinsip dengan kerajaan persekutuan berhubung pengambilalihan MASwings Sdn.Bhd sebagai entiti penerbangan baharu milik kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan tersebut adalah hasil cadangan balas kerajaan persekutuan, selepas kerajaan Sarawak mengemukakan cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butiknya sendiri sebelum ini.
"Kami telah bersetuju secara prinsip untuk mengambil alih MASwings dan kami sedang berusaha ke arah melaksanakannya.
"Salah satu aspek yang perlu diambil kira adalah laluan menjangkaui Borneo. Kami mahu laluan serantau dan memastikan harga tiket adalah berpatutan terutamanya laluan Asia.
"Buat masa ini MASwings tidak terbang ke Kuala Lumpur. Jika mahu ke Kuala Lumpur atau Singapura perlu melalui laluan domestik sedia ada. Apa pun secara prinsip, kerajaan Sarawak sudah bersetuju untuk ambil alih MASwings," katanya ketika ditemui oleh media selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak antara Hornbill Skyways Sdn Bhd dengan Petronas dan Has International Sdn Bhd di sini, pada Khamis.
Untuk rekod, MASwings ditubuhkan 15 tahun lalu sebagai syarikat penerbangan wilayah yang melaksanakan khidmat penerbangan ke kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman.
MASwings kini terbang ke 23 destinasi di kepulauan Borneo menggunakan 16 pesawat, antaranya jenis ATR 72-500 dan DHC Twin Otter.
#Abang Johari Tun Openg #MASwings Sdn Bhd #Maswings milik kerajaan Sarawak #Kerajaan Sarawak
;