Kerajaan salur lebih RM1.35 bilion untuk bantu lonjak perniagaan
Astro Awani
November 24, 2020 16:46 MYT
November 24, 2020 16:46 MYT
KUALA LUMPUR : Sehingga 13 November 2020, kerajaan telah menyalurkan lebih RM1.35 bilion untuk membantu melonjakkan perniagaan dalam negara melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tertinggi disalurkan melalui Pembiayaan PKS PENJANA di mana sebanyak 4,937 permohonan telah diluluskan dengan nilai pinjaman berjumlah RM1.033 bilion.
Menurutnya, Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA pula menyaksikan 478 PKS telah menyerahkan permohonan mereka dan sebanyak 208 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM41.8 juta.
“Ketiga, Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN atau TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) khas untuk PKS Mikro. Sehingga 13 November 2020, sebanyak RM86.7 juta telah disalurkan di bawah TBRS yang telah membantu 13,042 PKS Mikro.
“Keempat adalah Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN). Sehingga 13 November 2020, sebanyak RM197.7 juta telah disalurkan kepada 5,570 PKS Mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-30 secara maya menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan juga melaksanakan beberapa inisiatif bagi menyokong sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.
“Setakat 13 November 2020, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM727.4 juta.
“Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya.
“Kedua-dua inisiatif telah bermula dan akan tamat pada 31 Jun 2021,” ujarnya.
Katanya lagi, nilai pengecualian duti eksport juga dilaksanakan kepada sektor komoditi dan setakat 13 November 2020, duti yang berjaya dimanfaatkan oleh industri itu berjumlah RM301.1 juta.