Kerajaan peruntukkan RM100 juta di bawah SUPERB untuk bantu belia Bumiputera

Astro Awani
Julai 27, 2014 08:00 MYT
Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta di bawah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) untuk membantu usahawan belia Bumiputera.
Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta di bawah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) selama tiga tahun untuk membantu usahawan belia Bumiputera yang kreatif dan inovatif mengembang dan mengkomersialkan idea perniagaan mereka.
Di bawah SUPERB yang dinaung oleh TERAJU, dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 27 Januari, RM30 juta telah diperuntukkan bagi tahun pertama.
Setakat ini dua siri SUPERB BizPitch telah berlangsung untuk memilih penerima geran SUPERB sehingga RM 500,000 setiap seorang.
Bagi siri pertama, penyertaan amat menggalakkan dengan 1,791 permohonan dari seluruh negara.
Untuk sampai ke pusingan akhir, peserta telah melalui proses pembentangan idea perniagaan kepada panel-panel juri yang terdiri dari pelbagai agensi kerajaan dan tokoh korporat.
Para peserta menjalani sesi latihan dan bimbingan untuk memantapkan idea perniagaan dan pada pusingan akhir, mereka membentangkan idea perniagaan di hadapan tokoh perniagaan yang juga ahli panel SUPERB.
Setelah melalui proses saringan dan pembentangan, seramai 13 pemenang telah terpilih untuk menerima geran SUPERB siri pertama.
Siri kedua pula menampilkan kelainan dengan memperkenalkan proses saringan.
Hampir 2,000 peserta mengambil bahagian dalam SUPERB BizPitch Road Tour yang diadakan di enam lokasi koridor, @Koridor Utara, @Koridor ECER, @Koridor Sabah, @Koridor Sarawak dan Cyberjaya.
Road Tour adalah sesi uji bakat di mana peserta disenarai pendek untuk mara ke peringkat separuh akhir setelah mereka membentangkan idea perniagaan di hadapan ahli panel SUPERB.
SUPERB adalah platform terbaik yang memberi peluang kepada kepada usahawan atau bakal usahawan untuk mengembangkan atau mengkomersialkan idea perniagaan yang kreatif dan inovatif serta memupuk budaya keusahawanan di kalangan Bumiputera.
TERAJU berharap agar lebih banyak Bumiputera terutama dari Sabah dan Sarawak mengambil kesempatan ini untuk menggapai impian mereka menjadi usahawan berjaya bermula dari tahap domestik sehinggalah ke tahap global dan seterusnya menjadikan SUPERB titik permulaan kejayaan usahawan Bumiputera.
TERAJU mengharap kesinambungan SUPERB siri ketiga dan seterusnya akan menampilkan idea yang lebih menarik, idea yang dapat melonjakkan lagi nama Bumiputera serta menunjukkan yang golongan Bumiputera bukanlah jaguh kampung.
#Bumiputera #SUPERB #Teraju
;