Kerajaan persiap negara tempuh fasa kedua KSP RMK12 - PM Anwar

Bernama
September 11, 2023 12:12 MYT
ANWAR: Pelaburan swasta disasarkan berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM300 bilion setahun dalam tempoh akhir RMK12. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan sedang mempersiap negara bagi menempuhi fasa kedua Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang bertemakan "Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi" dengan tiga tumpuan utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 17 anjakan dan 71 inisiatif utama telah diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara disasarkan tersebut.
"KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI.
"Bagi memberi gambaran lebih jelas, pembentangan ini akan dicerakin melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut tiga tumpuan utama," kata beliau ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata kerajaan telah menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5.0 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberi tumpuan kepada dua perkara teras iaitu memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran.
Beliau turut berkongsi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama kalangan pelabur dengan memperkukuh daya saing.
"Langkah utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah.
"Ini secara langsung akan merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang secara bersinergi akan menarik lebih banyak pelaburan laangsung asing (FDI).
"Pelaburan swasta disasarkan berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM300 bilion setahun dalam tempoh akhir RMK12," kata beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan turut memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi bagi mempercepat reformasi struktur ekonomi yang meliputi lima bidang iaitu industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, industri pertanian dan asas tani serta industri nadir bumi.
Di samping itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah mengenal pasti sebanyak 10 projek perdana yang strategik dan berimpak tinggi dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pengurangan 10,000 gigagram karbon dioksida setara setahun.
Menurut Perdana Menteri, Dasar Mineral Negara baharu akan turut dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawapan.
"Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan," kata beliau.
Atas alasan itu, kerajaan akan turut membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber selain menjamin pulangan maksimum untuk Malaysia.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #negara berpendapatan tinggi #Dewan Rakyat #RMK12
;