Kerajaan perlu titik berat tadbir urus baik jika mahu kembalikan GST

Bernama
Mac 22, 2022 20:42 MYT
Ahmed Razman menegaskan, sistem digital tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul walaupun negara mempunyai sistem cukai yang baik. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menitikberatkan tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan sekiranya mahu melaksanakan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata penganalisis ekonomi.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan juga perlu lebih telus dalam menyebarkan maklumat mengenai kutipan hasil cukai kepada rakyat bagi meningkatkan kepercayaan terhadap kerajaan.
"Saya lihat faktor manusia itu masih lagi menjadi faktor yang penting jika kita ingin melaksanakan kembali GST, tidak boleh ada campur tangan pihak lain seperti sebelum ini," katanya program 'Malaysia Petang Ini', terbitan Bernama TV pada Selasa.
Slot yang mengupas tajuk 'GST Akan Kembali?' dalam program itu menampilkan Ahmed Razman sebagai tetamu secara dalam talian dengan dihoskan oleh Herleena Pahlavy dan Diah Mohd Jaiz.
Ketika ditanya sama ada sistem digital mampu membantu Malaysia menguruskan cukai dengan lebih cekap, beliau tidak menolak ia boleh membantu dari segi memudahkan urusan.
Bagaimanapun Ahmed Razman menegaskan, sistem digital tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul walaupun negara mempunyai sistem cukai yang baik.
Ini akan terjadi jika wujud campur tangan pihak lain sehingga berlaku situasi wang yang sepatutnya dipulangkan kepada perniagaan telah digunakan untuk maksud lain, katanya.
Beliau berkata kerajaan perlu mencari penyelesaian untuk mengurangkan perbelanjaan negara jika mahu mengembalikan GST supaya pelaksanaan sistem cukai itu tidak membebankan rakyat.
"Contohnya, kerajaan boleh kaji kembali subsidi minyak secara bersasar dan lihat bagaimana cara mengurangkan perolehan, pembelian aset dan sebagainya supaya berlaku penjimatan perbelanjaan negara.
"Jika ia boleh diatasi, apabila GST diperkenalkan, kerajaan tidak perlu mengenakan cukai sebanyak enam peratus seperti sebelum ini. Kerajaan boleh kenakan kadar yang lebih rendah, mungkin empat peratus," katanya.
Ahmed Razman berpendapat tindakan untuk memperkenalkan semula GST pada masa ini adalah tidak sesuai kerana rakyat masih dibebani kos sara yang hidup yang tinggi dan langkah itu boleh menimbulkan sentimen tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.
Dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin, Kementerian Kewangan memberitahu bahawa kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan GST serta model cukai kepenggunaan yang lain, dengan mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada 2015.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Su Keong Siong (Kampar-PH) mengenai sama ada kerajaan berhasrat untuk mengembalikan pelaksanaan GST.
-- BERNAMA
#GST #tadbir urus baik #Malaysia #kerajaan
;