Kerajaan perlu institusikan Ekonomi MADANI bagi pelaksanaan lebih pantas - Ahli ekonomi

Bernama
Ogos 9, 2023 04:45 MYT
NOOR AZLAN: Perlu ada satu pasukan berdedikasi dan mereka mesti diberi mandat dan diberi kuasa untuk melapor terus kepada Perdana Menteri tentang kemajuan yang telah dicapai. - Foto fail
BANGI: Kerajaan perlu menginstitusikan inisiatif kerangka Ekonomi MADANI dengan segera agar pelaksanaan setiap sasaran dan program pembangunan itu dapat direalisasikan secara serentak dan pantas.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata bagi tujuan itu sebuah pasukan khas perlu ditubuhkan dan diberikan mandat untuk melaksanakan kerangka ekonomi tersebut bersama-sama dengan kerajaan.
"Perlu ada satu pasukan berdedikasi dan mereka mesti diberi mandat dan diberi kuasa untuk melapor terus kepada Perdana Menteri tentang kemajuan yang telah dicapai.
"Pada masa yang sama, mereka perlu merancang bersama pihak kementerian kerana mereka (kementerian) merupakan induk kepada setiap sektor," katanya pada sidang media khas mengenai 'Ekonomi MADANI: Mencapai Sasaran' di sini, semalam.
Noor Azlan berkata, pasukan tersebut perlu membabitkan kementerian tertentu, pemain industri serta pakar dalam pelbagai industri supaya kesemua pihak dapat bergerak sama dalam melaksanakan sesuatu inisiatif ataupun menangani masalah.
"Sekiranya Ekonomi MADANI tidak diinstitusikan, kita tidak boleh lihat akauntabiliti dalam setiap tindakan. Maka, pertaruhan besar kita kali ini adalah untuk menyaksikan pelaksanaan itu berlaku," katanya.
Beliau berharap inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya supaya rakyat dapat menyaksikan Malaysia yang tinggi martabatnya dan seterusnya menikmati kualiti hidup yang tinggi.
Menurutnya, isu penting yang perlu diberi perhatian utama bagi meningkatkan semula ekonomi negara adalah menangani kos sara hidup kerana ia melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
"Bagi saya, isu pendapatan perlu ditangani dahulu dan perlu diberi perhatian serius. Kalau dilihat dari kaca mata global, kos sara hidup di Malaysia dianggap sangat murah dan rendah yang mana kita berada di tangga yang ke-107," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memperhalusi inisiatif berhubung pendapatan rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
Kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai negara.
Pertama, Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Kedua: Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia dan Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025).
Sasaran keempat adalah menaikkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus, Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia manakala ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #ekonomi madani #Noor Azlan Ghazali #pasukan khas
;