Kerajaan patut rendahkan GST, bukan tingkatkan gaji minimum - MEF

Luqman Hariz
Mei 3, 2016 18:16 MYT
Shamsuddin berkata, peningkatan gaji minimum mungkin akhirnya bertentangan dengan objektif ianya dilaksanakan. - Foto Astro AWANI
Kerajaan perlu meneliti aspek lain seperti mengurangkan kadar GST dalam usaha meringankan beban rakyat.
Menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan, sasaran kerajaan dalam meningkatkan gaji minimum, untuk meringankan bebanan rakyat, mungkin tidak dapat dicapai.
Ini kerana langkah tersebut akan akhirnya mengakibatkan ramai kehilangan kerja.
“Banyak pihak mendakwa kadar 6 peratus itu membebankan, mungkin kerajaan boleh pertimbangkan pengurangan kadar berkenaan,” katanya.
Kalau pihak majikan terpaksa lakukan pemberhentian kerja, akan timbul lagi masalah sosial lain.
“Kalau pihak majikan terpaksa lakukan pemberhentian kerja, akan timbul lagi masalah sosial lain, lebih elok rakyat mempunyai pekerjaan daripada hilang kerja,” tambahnya.
MEF sebelum ini menjangka, peningkatan kos operasi dari kenaikan gaji minimum akan memaksa majikan tempatan memberhentikan sehingga 60,000 pekerja tahun ini.
Kata beliau, majoriti pemberhentian kerja dijangka berlaku di sektor minyak dan gas, perbankan dan kewangan, serta insurans dan peruncitan.
Tambahnya, MEF juga khuatir pekerja peringkat bawahan akan menjadi mangsa pemberhentian kerja tahun ini.
Ini memandangkan 70 ke 80 peratus dari 38,000 pekerja yang diberhentikan tahun lalu adalah dari peringkat atasan dan pertengahan.
Shamsuddin juga kekal pesimis ketika ditanya mengenai prospek pekerjaan negara.
Kita jangka kadar pengangguran akan terus meningkat.
“Kita jangka kadar pengangguran akan meningkat kerana pertama, pemberhentian kerja.
“Kedua, sekarang ini mereka yang keluar dari institusi pengajian tinggi atau SPM, peluang mereka untuk dapat kerja juga agak terhad,” katanya.
MEF menggesa kerajaan meningkatkan usaha membantu syarikat tempatan mengharungi tempoh ekonomi mencabar kini dan mengekalkan pekerja mereka.
Perintah Gaji Minimum 2016 memerlukan majikan di Semenanjung Malaysia meningkatkan gaji pekerja mereka dari RM900 ke RM1000.
Manakala majikan di Sabah dan Sarawak perlu meningkatkan gaji pekerja dari RM800 ke RM920.
#gaji minimum #GST #kerja #MEF #pemberhentian kerja #penganggur #Perintah Gaji Minimum 2016 #Persatuan Majikan Malaysia
;