Kerajaan optimis ekonomi negara bertambah baik - Tengku Zafrul

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2022 11:43 MYT
Tengku Zafrul (dua, kanan) berbual dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kiri) ketika melakukan lawatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Ekonomi negara dijangka kembali pulih apabila pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan 3.1 peratus tahun lepas.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2021 sejajar dengan sasaran ditetapkan iaitu antara tiga dan empat peratus.
Mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi terbaharu, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan bulan depan.
“Insya-Allah tahun lepas KDNK tumbuh 3.1 peratus, our forecast this year within 5.5 to 6.5 percent, ini menunjukkan kita optimistik dengan pembukaan semula ekonomi, eksport dan permintaan.
“Insya-Allah kita dapat lihat virus COVID-19 (diharap beransur) tidak membahayakan, as far as compared to data, we are optimistic, unjuran 2022 terbaharu akan diumumkan pada March bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Komtar Pulau Pinang pada Jumaat.
Turut hadir , Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Dalam masa sama, beliau berkata prospek ekonomi negara akan bertambah baik dengan meningkatnya sentimen pelabur, selain hasil positif menerusi import dan eksport.
Malah, negara juga katanya turut merekodkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM50 bilion berbanding tahun sebelum ini.
“Berita baik, kita melihat keyakinan pelabur mengenai prospek pemulihan ekonomi negara kita dimana FDI kita telah mencecah RM50 bilion untuk tahun 2021 lebih tinggi dari tahun sebelum ini dan momentum ini akan berterusan pada tahun ini dan kerajaan terus dengan unjuran 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya lagi.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Bank Negara Malaysia #KDNK #Menteri Kewangan