Kerajaan negeri puji usaha MITI bawa masuk pelaburan ke Kelantan

Bernama
Oktober 26, 2016 08:01 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Anuar Tan Abdullah berkata projek mega tersebut diharap akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.
Kerajaan Kelantan hari ini memuji usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membawa masuk pelaburan menerusi beberapa projek mega ke negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Anuar Tan Abdullah berkata projek mega tersebut merangkumi pembinaan kilang kedua Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM320 juta di Pengkalan Chepa.
"Selain itu, pembukaan syarikat Sawit Jaya Oil dengan pelaburan sebanyak RM226 juta, pembinaan kilang Ain Medicare di sini, dan kelulusan lesen bagi membina kilang simen di Gua Musang.
"Kita beri pujian kepada MITI untuk projek mega ini," katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan ekonomi Kelantan pada 2017.
Anuar Tan (PAS-Kota Lama) berkata projek mega tersebut diharap akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika ditemui di luar dewan berkata, sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan dua tahun lepas untuk memudahkan permohonan mana-mana pihak yang ingin melabur di Kelantan.
Ia diwujudkan selepas arahan beliau kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan supaya menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menggalakkan pelaburan, katanya.
"Saya sendiri pantau dan juga bertanggungjawab (dalam jawatankuasa bersama itu) jadi saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengiktiraf peranan kita," katanya. -- BERNAMA
#Datuk Anuar Tan Abdullah #Kelantan #Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri #projek mega