Kerajaan mungkin labur semula levi pekerja asing ke dalam peningkatan automasi

Luqman Hariz
Ogos 2, 2016 14:20 MYT
Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz, ini merupakan sebahagian dari inisiatif yang diterokai kerajaan dalam Bajet 2017 bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.-Foto AFP/Saeed KHAN
Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melabur semula pendapatan yang diperoleh dari levi pekerja asing ke dalam meningkatkan automasi.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz, ini merupakan sebahagian dari inisiatif yang diterokai kerajaan dalam Bajet 2017 bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
"Ada cadangan dari beberapa pihak berwajib supaya kerajaan menyalurkan atau melabur semula dana levi pekerja asing kepada peningkatan proses automasi," kata Datuk Othman selepas mempengerusikan mesyuarat Kementerian Kewangan bersama kumpulan tumpuan menjelang Bajet 2017.
"Kami akan pertimbangkan, mungkin tidak semua pihak akan menerima dana peningkatan automasi ini, tetapi sekurang-kurangnya ada saluran untuk syarikat-syarikat tempatan menambah baik proses automasi mereka bergerak ke hadapan," tambahnya.
Datuk Othman bagaimanapun menegaskan, idea tersebut masih di peringkat cadangan dan kementeriannya masih belum membuat sebarang komitmen berkenaan isu itu di dalam bajet akan datang.
Bagaimanapun katanya, isu mengurangkan pengambilan pekerja asing tidak semudah yang disangka, kerana beberapa sektor masih memerlukan golongan ini dalam membantu ekonomi tempatan.
"Secara praktikalnya, di sesetengah sektor seperti perladangan contohnya, kita masih perlukan pekerja manusia walaupun kita sudah mempunyai mesin.
"Ini kerana sesetengah kerja masih perlu dilakukan oleh manusia, di samping pekerja tempatan kita kurang minat lakukan kerja-kerja 3D," tambahnya.
Beliau berkata cabaran kerajaan bagi aspek pembangunan modal insan dalam merangka Bajet 2017 adalah untuk mencari keseimbangan antara keperluan ekonomi dan juga menjamin keselamatan negara.
Ini kerana katanya, pengambilan pekerja asing terlampau banyak mungkin meningkatkan bilangan pekerja asing tidak sah, sekaligus berupaya mengganggu gugat keselamatan negara.
Datuk Othman berkata, antara fokus lain mesyuarat Kementerian Kewangan bersama kumpulan tumpuan di sini hari ini adalah pengurangan kadar pengangguran, peningkatan produktiviti pekerja tempatan serta kesaksamaan pendapatan pekerja tempatan dan asing.
#Bajet 2017 #Mesyuarat Konsultasi Bajet #pekerja asing
;