Kerajaan masih kaji cadangan mansuh AP, kata Mustapa
Bernama
Julai 8, 2014 14:11 MYT
Julai 8, 2014 14:11 MYT
Kerajaan masih mengkaji cadangan untuk memansuhkan permit import (AP) kerana ia akan memberi kesan kepada pendapatan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata pemansuhan AP juga akan menjejaskan mata pencarian pekerja 180 syarikat pemegang AP.
"Apabila kita mendalami perkara ini, kita dapati bahawa ia agak rumit...ada kesan terhadap pekerjaan dan hasil kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB Malaysia) dan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotech Corp) di sini hari ini.
Mustapa berkata sejak tiga tahun lepas, kerajaan telah mengutip kira-kira RM1 bilion daripada caj yang dikenakan bagi pengeluaran setiap AP.
Beliau berkata apa juga sistem yang akan diperkenalkan untuk menggantikan AP, ia perlu mampu untuk menampung kehilangan hasil kerajaan tersebut.
Pemansuhan AP turut akan menjejaskan pendapatan pekerja syarikat pemegang AP selain memberikan kesan yang tidak langsung kepada ekonomi negara, katanya.
Mustapa berkata kementeriannya masih lagi melakukan kajian terhadap AP dan masih terlalu awal bagi kerajaan untuk mempertimbangkan sebarang pilihan.
Sementara itu, mengenai pelaksanaan standard diesel Euro 4 di Malaysia, menteri itu berkata kerajaan masih belum memutuskan tarikh penukarannya.
Beliau berkata kerajaan telah berbincang dengan pelbagai syarikat sejak dua tiga tahun lepas dan telah membuat keputusan tetapi tidak dapat melaksanakannya memandangkan kos yang terlibat agak terlalu tinggi kepada syarikat-syarikat minyak.
"Menurut syarikat-syarikat minyak, langkah itu akan melibatkan kos yang tinggi untuk mereka menaik taraf sistem, kilang dan loji mereka.
"Mereka meminta penangguhan, jadi kita (MITI) masih berbincang dengan mereka sebagai sebahagian daripada pasukan yang diketuai oleh Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan)," katanya.
Mustapa berkata sektor automotif menunjukkan minat bagi kerajaan mengikut standard Euro 4.
"Ini amat penting kerana banyak negara telah beralih kepada Euro 4 dan ada yang sudah merancang untuk Euro 5, kita di belakang. Jika saya dalam sektor automotif, saya akan bimbang kerana tidak ada kepastian tentang bila Euro 4 akan digunakan dalam negara.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah untuk mengimbangi kepentingan industri auto dan kepentingan penapis minyak," katanya.