Kerajaan lulus pinjaman RM107 juta kepada 588 PKS Cina

Bernama
Februari 9, 2018 04:47 MYT
WEE: Kojadi telah mengagihkan pinjaman sebanyak RM97.14 juta kepada 544 PKS Cina sejak 2016.
Kerajaan telah meluluskan pinjaman RM107 juta melalui Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi) kepada 588 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Cina di negara ini sejak 2016, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
"Kojadi telah mengagihkan pinjaman sebanyak RM97.14 juta kepada 544 PKS Cina sejak 2016 dan saya fikir sekurang-kurangnya RM50 juta lagi akan dikeluarkan kepada PKS tahun ini.
"Kerajaan berharap pinjaman itu akan membantu PKS yang memerlukan pembiayaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Penambahbaikan Lembaga Penasihat Usahawan Malaysia di Menara Usahawan, di sini pada Jumaat.
Pemohon berumur antara 21 dan 60 tahun dan menjalankan perniagaan PKS yang memerlukan dana akan dipertimbang untuk pinjaman antara RM50,000 dan RM250,000 dengan tempoh maksimum pembayaran balik lima tahun.
Sementara itu, Wee berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pengecualian duti setem bagi saham syarikat bermodal sederhana dan kecil yang diniaga di Bursa Malaysia berkuat kuasa Mac ini selama tiga tahun, diterima baik.
Beliau berkata, langkah itu akan menggalak lebih banyak PKS disenarai di Pasaran Platform Pencepat Usahawan Utama di Bursa Malaysia.
"Sehingga hari ini, dua PKS dikenal pasti untuk disenaraikan. Kami akan meneruskan usaha untuk memperoleh lima lagi PKS untuk disenaraikan di papan ketiga itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wee berkata, masalah kekurangan pekerja asing dalam kerja 3D (kotor, sukar dan berbahaya) dalam PKS perlu diselesaikan dengan baik bagi memastikan PKS terus berkembang.
"Kita memerlukan penyelesaian jangka panjang untuk memperbaiki keseluruhan sistem. Perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat itu dan kami mempunyai penyelesaian menang-menang. Kami akan membawa perkara ini kepada pihak berkuasa dan berharap dapat menyelesaikan masalah ini sepenuhnya," katanya.
Bilangan pekerja asing di negara ini telah dikurangkan daripada 2.3 juta pada 2016 kepada 1.8 juta tahun lepas.
-- BERNAMA
#bantuan #bisness #Cina #ekonomi #perniagaan #pinjaman #PKS #usahawan #Wee Ka Siong
;