Kerajaan laksana NJCSP sasar wujud 500,000 peluang pekerjaan
Astro Awani
September 23, 2021 18:54 MYT
September 23, 2021 18:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) seiring sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu akan disokong lima pasukan petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC).
Jelasnya, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama termasuk meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik.
"Ia termasuk memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri, memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa dan memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan.
"Teras utama lain termasuk memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden," katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan mesyuarat NEC yang dipengerusikan beliau pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam pengubah keadaan (game changer) termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET.
Antara cadangan NJCSP, menurut Ismail Sabri adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan peserta dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.
"Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif," katanya.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.
Katanya, kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian.
Sehingga 10 September 2021, lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September 2021.
Malah, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.