Kerajaan kekalkan unjuran KDNK 5.5 peratus hingga 6.5 peratus untuk 2022 - Tengku Zafrul

Bernama
Februari 12, 2022 13:47 MYT
Tegku Zafrul berkata angka itu juga selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 5.8 peratus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk 2022 dalam julat 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata angka itu juga selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 5.8 peratus.
"Momentum berterusan pemulihan ekonomi negara jelas kelihatan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-84 yang dikeluarkan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah mengumumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2021 sebanyak 3.1 peratus, sejajar dengan unjuran kerajaan iaitu antara 3 dan 4 peratus.
Ini adalah peningkatan berbanding tahun 2020, apabila KDNK menguncup sebanyak 5.6 peratus.
Tengku Zafrul berkata peningkatan KDNK ini menggambarkan momentum pemulihan ekonomi yang jelas kelihatan sepanjang suku keempat tahun lepas, terutamanya melalui indikator ekonomi yang bertambah baik.
"Kita juga dapat melihat keyakinan pelabur yang yakin akan prospek pemulihan negara. Sebagai contoh, aliran masuk bersih FDI (pelaburan langsung asing) mencecah lebih RM50 billion bagi tahun 2021, lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.
"Malah, jumlah perdagangan luar telah melebihi RM2 trilion, dengan pertumbuhan terpantas sejak tahun 1994," katanya.
Tengku Zafrul berkata momentum pertumbuhan djangka akan berterusan pada tahun ini yang akan menjadi pendorong kepada KDNK negara untuk terus pulih kepada tahap seperti sebelum pandemik COVID-19.
"Melangkah ke hadapan, pertumbuhan tahun ini akan didorong terutamanya oleh Bajet2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan kadarvaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yangtinggi dan permintaan luar yang kukuh, terutamanya daripada rakan dagangan utama," katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #LAKSANA #Tabung Kewangan Antarabangsa
;