Kerajaan kaji keperluan lesen media sosial untuk LinkedIn

Amanz
Januari 9, 2025 09:30 MYT
LinkedIn melalui laman rasmi menyatakan, ia mempunyai lebih 7 juta pengguna di Malaysia setakat awal tahun lepas. - Foto Amanz
KERAJAAN kini sedang mengkaji sama ada LinkedIn akan tertakluk di bawah keperluan lesen media sosial untuk teruskan operasi di Malaysia, atau sebaliknya.
Bercakap mengenainya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan telah meminta SKMM untuk menilai sama ada LinkedIn mempunyai lebih 8 juta pengguna di Malaysia dan adakah ia dikategorikan sebagai platform media sosial.
Sejak 1 Januari 2025, Malaysia telah mula mengimplementasi keperluan lesen untuk operasi media sosial bagi platform dengan lebih 8 juta pengguna tempatan – sekali gus memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan melaluinya.
Ia juga akan memastikan kandungan berbentuk menipu, scam, perjudian, lucah dan sebagainya lebih terkawal dan dipadam dengan lebih pantas dalam usaha memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan pada platform masing-masing.
Setakat ini, TikTok, WeChat dan Telegram telah menerima lesen mereka, sementara Meta yang mengoperasikan Facebook, Instagram dan WhatsApp dalam proses menerima lesen mereka.
Sebelum ini, X mengatakan angka pengguna mereka tidak mencapai keperluan untuk perlesenan, sementara YouTube pula mengatakan mereka tidak tertakluk dibawah definisi media sosial.
Untuk LinkedIn sendiri, mereka melalui laman rasmi menyatakan mempunyai lebih 7 juta pengguna di Malaysia pada awal 2024 yang lepas dan mungkin telah mencapai atau menghampiri angka 8 juta.
LinkedIn turut menyertakan elemen perkongsian kandungan dan interaksi melalui komen yang membawa kepada definisi media sosial.
LinkedIn merupakan laman sosial milik Microsoft, yang sedia mempunyai pelaburan tinggi di Malaysia.
#Fahmi Fadzil #SKMM #LinkedIn #lesen media sosial
;