Kerajaan harus tetapkan harga rumah mampu milik - Cuepacs

Pritha Manivannan
Mei 2, 2016 15:49 MYT
AZIH: Aspek pembiayaan juga harus dilihat semula untuk memudahkan proses pinjaman rumah. - Gambar fail
Kerajaan harus menetapkan harga rumah mampu milik berdasarkan kemampuan penjawat awam.
Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda, langkah ini boleh diambil kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah.
Azih turut meminta agar rumah kos rendah diwujudkan dengan harga di antara RM80,000 hingga RM150,000.
Menurutnya, aspek pembiayaan juga harus dilihat semula untuk memudahkan proses pinjaman rumah.
"Cuepacs minta supaya kerajaan menentukan harga rumah mampu milik berdasarkan teknologi yang digunakan pada masa ini.
"Kedua, ia harus berdasarkan kemampuan seorang penjawat awam dari segi pembiayaan," kata Azih.
Tambah beliau, subsidi dan rebat yang diberikan kerajaan perlu dikekalkan untuk mengurangkan lagi harga rumah.
"Kerajaan harus mengekalkan elemen subsidi ataupun rebat. Ini kerana pembeli perlu membayar cukai dan GST yang tidak boleh dituntut balik.
"Jika kerajaan kekalkan rebat, mungkin harga rumah akan turun," kata Azih.
Ahad lalu, Cuepacs melaporkan bahawa 960,000 atau 60 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih tidak memiliki rumah.
75 peratus daripada jumlah itu merupakan pekerja awam yang berumur 40 tahun dan ke bawah.
Katanya perkara ini perlu dilihat lebih serius kerana ada di antara penjawat awam yang sudah bersara, masih tidak memiliki rumah dan mereka terpaksa menyewa sebaik tamat perkhidmatan.
#Azih Muda #cuepacs #mampu milik #penjawat awam
;