Kerajaan harap dapat ratifikasikan RCEP pada awal 2022 - Mustapa

Bernama
November 21, 2021 14:31 MYT
Mustapa berkata untuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pula, analisis kos-manfaat akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulangi harapan kerajaan untuk meratifikasikan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada awal 2022.
Beliau berkata untuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pula, analisis kos-manfaat akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"RCEP menyediakan peluang besar untuk Malaysia di samping membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan pasaran China dan menjana lebih banyak eksport.
"PKS mesti menghadapi cabaran ini dengan keyakinan dan inovasi," katanya dalam ucaptama yang dirakam lebih awal sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 pada Ahad.
Mustapa juga mengatakan harapan agar SIBS 2021 berhasil dalam memudahkan akses dan membolehkan PKS memperoleh pengetahuan mengenai cara terbaik untuk merebut peluang yang tersedia di bawah RCEP.
SIBS edisi kelima itu berlangsung dari 18 hingga 21 Nov dengan tema 'Transformasi Digital ke Arah Pemulihan Ekonomi'.
Acara itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan cabang pelaburan negeri, Invest Selangor Bhd.
Konvensyen itu mengumpulkan peneraju industri, ahli akademik, PKS serta sektor kerajaan dan swasta untuk menyelidiki usaha memperkukuh dan mengembangkan ekosistem pendigitalan PKS Selangor dalam membentuk kerangka dan penyelesaian bandar pintar sedia ada dan masa depan serta ekonomi digital.
-- BERNAMA
#Mustapa Mohamed #RCEP #Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau #ekonomi
;