Kerajaan dijangka unjur sasaran KDNK lebih tinggi menerusi Belanjawan 2024 - Kenanga

Bernama
Oktober 9, 2023 15:38 MYT
Kenanga mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2024 pada 4.9 peratus, tanpa mengambil kira sebarang kejutan luar jangka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan kerajaan mengunjurkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 yang lebih tinggi, kemungkinan di antara 5.0 peratus dengan 5.5 peratus.
Bank pelaburan itu menjelaskan, unjuran itu adalah selaras dengan sasaran pertumbuhan yang ditetapkan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dibentangkan baru-baru ini.
"Walau bagaimanapun, kami mendapati sasaran ini sedikit optimis, memandangkan ekonomi global semakin tidak menentu, yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan domestik," menurutnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.
Oleh yang demikian, Kenanga mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2024 pada 4.9 peratus, tanpa mengambil kira sebarang kejutan luar jangka dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kelembapan ekonomi global ekoran impak daripada persekitaran kadar faedah tinggi.
Belanjawan 2024, yang dijadual dibentangkan Jumaat ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersedia untuk diterjemah sebagai kerangka ekonomi Malaysia MADANI, tambahnya.
"Memandangkan sasaran defisit fiskal bersifat optimistik, yang ditetapkan menerusi KSP RMK12 dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025, kerajaan mungkin mengumumkan sasaran defisit fiskal pada 4.6 peratus.
"Walau bagaimanapun, kami kekal konservatif, menyasarkan di antara 4.5 peratus dengan 5.0 peratus berikutan prospek ekonomi global yang mencabar pada 2024," jelas Kenanga.
Bank pelaburan itu juga memaklumkan pelaksanaan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal dan cukai mewah, ditambah dengan usaha kerajaan untuk mengetatkan kelemahan cukai melalui langkah yang perlu di samping kemungkinan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan meningkatkan hasil pada 2024.
Sementara itu, hasil berkaitan minyak dijangka kekal stabil pada 2024, disokong unjuran yang menggalakkan bagi harga minyak mentah Brent dengan unjuran rasmi terhadap penanda aras minyak itu kekal melebihi US$80 setong.
Unjuran itu didorong oleh peningkatan permintaan ke atas minyak global, lanjutan pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Kenanga juga menambah bahawa Hab Pangkalan Data Pusat Baharu (PADU) akan diperkenalkan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh, terutama bagi RON95 dan diesel yang bersubsidi, serta meningkatkan pakej bantuan sosial.
Bagi memudahkan kenaikan gaji, meningkatkan produktiviti dan menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan mungkin menaikkan gaji kakitangan awam, serta melaksanakan Model Gaji Progresif yang dijadualkan pada suku kedua 2024.
Menurut Kenanga pada masa sama, perbelanjaan pembangunan dijangka menumpukan usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi bagi menyediakan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan ekonomi,
"Pengangkutan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur rangkaian telekomunikasi akan menjadi tumpuan bagi pembangunan untuk melonjakkan kemakmuran negara.
"Kami menjangkakan tiada projek mega baharu yang akan diumumkan, sebaliknya pemulihan dan pencepatan bagi projek sedia ada," jelasnya.
-- BERNAMA
#pertumbuhan ekonomi Malaysia #Belanjawan 2024 #KDNK lebih tinggi #Kenanga Research
;