Kerajaan dijangka perkukuh kedudukan kewangan - Manulife

Bernama
Januari 21, 2022 00:15 MYT
Manulife percaya Kerajaan akan berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan selepas hampir dua tahun dasar monetari dan fiskal yang akomodatif akibat pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan selepas hampir dua tahun dasar monetari dan fiskal yang akomodatif akibat pandemik COVID-19, kata Manulife Investment Management (M) Bhd.
Pengurus Portfolio Kanan Manulife bagi Ekuiti Asia, Kenglin Tan berkata terdapat jangkaan tinggi bahawa keadaan mudah tunai akan lebih ketat tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila bank pusat mula menaikkan kadar faedah.
"Persoalannya...patutkah kita bimbang sama ada akan berlaku aliran keluar modal dalam jumlah yang besar yang dicetuskan oleh 'Taper Tantrum' Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada tahun 2013.
"Kami percaya bahawa banyak perkara telah berubah dan kebanyakan ekonomi sudah bersedia dengan baik kali ini dan penunjuk makro mereka telah meningkat dengan ketara," katanya semasa pembentangan maya 'Manulife Investment Management 2022 Outlook', hari ini.
Mengenai pertumbuhan pendapatan untuk ekuiti Asia, Tan menjangkakan pertumbuhan asas yang rendah di Asia Selatan tahun ini kerana rantau itu terperangkap dalam sekatan pergerakan penuh selama lebih setahun disebabkan penularan varian Delta.
Beliau berkata kadar vaksinasi yang tinggi terutamanya di Asia Tenggara serta India akan membolehkan rantau itu pulih daripada COVID-19 dengan kehidupan dijangka akan kembali normal.
"Daripada perspektif pendapatan, pertumbuhan pasaran untuk beberapa pasaran utama seperti India dan Indonesia masih ketinggalan daripada anggaran pertumbuhan konsensus.
"Ini bermakna pelabur masih mengamalkan pendirian yang berhati-hati.
"Kami percaya rantau ini akan melihat beberapa peningkatan lagi. Asia Selatan berkemungkinan akan terus mengatasi Asia Utara tahun ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah serta pendapatan yang lebih kukuh," katanya.
Ketua Strategi Makro Asia, Sue Trinh berkata perbelanjaan kerajaan dijangka menyokong pasca pandemik yang akan membantu meningkatkan permintaan domestik di Malaysia.
Trinh menjangkakan Jepun akan ketinggalan dalam menguruskan kecairan berbanding negara maju yang lain.
Dilaporkan bahawa beberapa penganalisis meramalkan bahawa era memperketatkan kuantitatif sudah pun bermula dengan spekulasi yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan akan mula mengurangkan lembaran imbangannya.
Ia berikutan daripada lembaran imbangan bank pusat berkembang selepas pandemik pada tahun 2020 dan apabila ekonomi pulih dan inflasi melonjak melebihi sasaran, bank pusat bersedia untuk program pembelian bon.
-- BERNAMA
#manulife #Manulife Investment Management #dasar monetari dan fiskal #Kenglin Tan #Taper Tantrum