Kerajaan diharap dapat laksanakan cadangan dasar dan inisiatif dengan lebih jelas dan konsisten - NCCIM
Bernama
Mei 9, 2024 17:44 MYT
Mei 9, 2024 17:44 MYT
PETALING JAYA: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap agar kerajaan dapat melaksanakan semua dasar dan inisiatif yang dicadangkan dengan lebih jelas, sekata dan konsisten.
Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerajaan juga boleh mengambil langkah menjalin perkongsian dengan negara lain untuk mengukuhkan lagi kerjasama antarabangsa, menangani kelemahan global dan menggalakkan perdagangan pelbagai hala.
Selain itu, katanya, kerajaan juga diharap dapat melaksanakan konsep dasar jangka panjang yang lebih jelas sebagai contoh bagi cadangan Dasar Gaji Progresif (PWP).
"Selepas percubaan 1,000 syarikat untuk pelaksanaan perintis (PWP), adakah kerajaan akan menerima pakai dasar ini, dan apakah kriteria serta langkah untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?
"Apakah pendirian kerajaan tentang gaji minimum? Dan bagaimana PKS boleh terus bertahan dalam keadaan ringgit yang lemah sekarang dan peningkatan kos operasi yang membebankan perniagaan mereka?," katanya kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Kebangsaan (NEF) 2024 bertemakan "Inovasi Strategik dan Perikatan Global: Memacu Malaysia Merintis Ekonomi Global' di sini ,hari ini.
Sementara itu Soh dalam ucapannya berkata kepesatan inovasi teknologi, yang ditandai dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan, automasi dan pendigitalan, boleh menjadi platform bagi meningkatkan kecekapan namun dalam masa yang sama boleh juga menjadi halangan bagi industri tradisional dan pasaran buruh.
Beliau berkata penyelidikan dan pembangunan, memupuk budaya keusahawanan dan menerima teknologi baru muncul boleh membantu pemilik perniagaan memanfaatkan potensi penuh mereka dan mencapai pertumbuhan inklusif yang mampan.
Bagaimanapun, katanya, penerimagunaan teknologi dan inovasi digital telah menyebabkan perniagaan terdedah kepada serangan siber.
"Kesalinghubungan pasaran global mendedahkan kita kepada kelemahan yang berpunca daripada kejutan luaran dan turun naik ekonomi.
"Ini menekankan keperluan untuk penyelesaian inovatif dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA