Kerajaan digesa lihat adaptasi teknologi blockchain
Astro Awani
Februari 19, 2021 13:44 MYT
Februari 19, 2021 13:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan atau pihak penggubal dasar digesa untuk melihat semula mengenai pengadaptasian aset digital baharu dan teknologi blockchain ke dalam syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, meskipun pemangkin atau pengubah keadaan MyDigital-Blueprint Ekonomi Digital Malaysia yang diumumkan itu dilihat positif dari segi teknologi namun ia harus diselarikan dengan pelaksanaan polisi di peringkat kerajaan dan agensi.
"Dengan blockchain, kerajaan perlu melihat semula bagaimana mengadaptasi teknologi itu ke dalam (syarikat)," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Menyentuh mengenai enam teras yang digariskan, meskipun teruja, namun Mahadhir memberitahu, ia bulanlah suatu perkara yang baharu.
Kata beliau, ia harus ditekankan dengan pembelian sistem serta peralatan untuk mendigitalkan negara.
Pandangan yang sama dikongsi oleh Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Danial Wong yang berpendapat latihan perindustrian yang dijalankan kerajaan menerusi agensi berkaitan seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dilihat masih tidak memenuhi keperluan industrian untuk mengadap mengadaptasi pendigital dalam sektor berkenaan.
Menyifatkan berlakunya ketirisan, beliau berkata, ia akhirnya mengakibatkan wujudnya jurang generasi terutamanya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Latihan industri yang dijalankan oleh agensi seperti HRDF nampaknya masih lagi belum memenuhi keperluan industri, kita mahu PKS untuk mengadaptasi pendigitalan, namun sejauh mana latihan kepada majikan dan pekerja sektor PKS?" soalnya.
Menjelaskannya, kata beliau, Malaysia berada dalam era peralihan generasi, yang masih lagi dikategorikan sebagai kurang celik ilmu teknologi maklumat terutamanya di sektor yang memerlukan kemahiran tinggi seperti pakar rangkaian.
"Maka, saya merasakan kerajaan perlu menekankan kepada lebih banyak latihan perindustrian melibatkan pendigitalan," ujarnya.