Kerajaan digesa beri tumpuan kepada industri pelancongan

Astro Awani
September 14, 2023 15:45 MYT
Radzi berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan selepas mengambil kira penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama dan kedua 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada industri pelancongan selain merangka pendekatan khusus bagi sektor spesifik bagi membantu merancakkan ekonomi negara, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.
Radzi berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan selepas mengambil kira penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama dan kedua 2023.
Ini kerana, katanya, penguncupan kadar KDNK tidak wajar untuk dibahaskan menerusi aspek asas tahun sebelumnya yang rendah semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira cabaran ekonomi yang semakin meruncing.
Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan wajar diberikan kepada segmen pelancongan premium serta usaha meningkatkan perbelanjaan pelancong asing ketika bercuti ke negara ini, sekali gus mampu meningkatkan permintaan terhadap ringgit Malaysia.
"Kita tidak boleh tunggu dan berharap ekonomi pulih sendirinya. Perlu ada pendekatan khusus untuk sektor spesifik yang boleh membantu merancakkan ekonomi negara.
"Kerajaan boleh melaksanakan intervensi segera bagi melonjakkan kehadiran pelancong asing ke negara ini ke tahap jauh lebih tinggi tanpa berkompromi dengan keselamatan sempadan.
"Takkan kita nak tunggu hingga Tahun Melawat Malaysia yang katanya akan ditunda sehingga 2026 barulah nak mengoptimumkan kehadiran pelancong," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam ucapannya, Radzi turut mencadangkan supaya kerajaan tidak terlalu terikat dengan sasaran mencapai defisit fiskal lebih rendah, jika terdapat keperluan mendesak untuk mengembangkan perbelanjaan fiskal bagi merancakkan pertumbuhan.
"Kita sedar keperluan memastikan kadar defisit fiskal negara berada pada tahap munasabah dan mengamalkan perbelanjaan fiskal berhemat.
"Namun, kita tidak harus terikat dengan sasaran mencapai defisit fiskal lebih rendah, jika terdapat keperluan mendesak untuk mengembangkan perbelanjaan fiskal bagi merancakkan pertumbuhan (ekonomi)," katanya.
Sementara itu, Radzi turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan agensi tunggal yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, ia selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat dan unjuran kadar inflasi lebih tinggi dengan jangkaan kadar purata inflasi tahunan antara 2.8 hingga 3.8 peratus setahun, antara lain disebabkan oleh pelaksanaan subsidi bersasar.
#Radzi Jidin #Dewan Rakyat #sektor pelancongan #eknomi negara
;