Kerajaan dicadang wujud bank khusus untuk pinjaman perumahan - Abdul Rahman

Bernama
September 27, 2014 16:34 MYT
ABDUL RAHMAN: Kerajaan dicadang wujud bank khusus untuk pinjaman perumahan - Gambar fail
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tampatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan Kerajaan Persekutuan agar menubuhkan sebuah bank khusus untuk menyediakan kemudahan pinjaman perumahan.
Abdul Rahman berkata dengan adanya bank seperti ia akan memudahkan pembeli rumah untuk membuat pinjaman perumahan sekaligus membantu golongan yang belum memiliki rumah kerana sukar memperoleh pembiayaan daripada bank perdagangan untuk membeli rumah masing-masing.
"Kalau ini tidak dapat dilakukan, kita memohon kepada kerajaan pusat agar membenarkan Jabatan Perumahan Negara mengeluarkan lesen peminjam wang.
Sekarang ini pemberian lesen peminjam wang adalah di bawah kementerian saya tetapi lesen-lesen itu adalah untuk mengeluarkan pinjaman wang untuk tujuan peribadi.
Jadi kalau boleh lesen itu diberikan kepada syarikat koperasi yang besar atau syarikat insurans yang besar yang boleh menyediakan dana untuk pinjaman perumahan," katanya.
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci projek pembinaan semula rumah terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kampung Pantai Emas di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan penerima Tarpilih, H.S Ekang menerima kunci rumahnya yang dibina 12 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dengan kos kira-kira RM47,000 daripada peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Abdul Rahman berkata beliau juga masih tertanya-tanya mengapa bank-bank perdagangan begitu sukar mengeluarkan pinjaman kepada mereka yang ingin membeli rumah mampu milik sedangkan jumlah pinjaman yang dipohon adalah lebih kecil berbanding nilai rumah yang ingin dibeli.
Mengenai Belanjawan 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada bulan depan, Abdul Rahman berharap kementeriannya akan diberi peruntukkan lebih besar khusus untuk projek perumahan mampu milik seperti MyHome dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Beliau juga berharap agar syarat pembelian rumah dilonggar atau dipermudahkan serta dikurangkan karenah birokrasi agar segala dasar perumahan perumahan rakyat mencapai objektifnya.
"Saya berharap sangat agar Kementerian Kewangan mampu menyediakan tabung pembelian tanah dan dana itu boleh disalurkan kepada Jabatan Perumahan Negara untuk membeli tanah di lokasi-lokasi strategik di kawasan pinggir bandar yang mungkin akan menjadi bandar dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.
Katanya sekiranya tanah di lokasi strategik itu dibeli sekarang sudah tentu harganya lebih murah berbanding membeli tanah daripada pihak swasta dan ia boleh digunakan mungkin 10 tahun akan datang apabila diperlukan.
#bank #MyHome #najib #peribadi #perumahan #PR1MA #Rahman
;