Kerajaan boleh nilai semula GST, tambah baik pelaksanaan - MIDF
Bernama
Januari 21, 2021 05:14 MYT
Januari 21, 2021 05:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh menilai semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengkaji untuk cukai penggunaan itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik, mempertimbangkan semua kemungkinan kelebihan GST berbanding rejim cukai lain yang akan memberi manfaat kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Dalam Laporan Tematik yang dikeluarkan semalam, bank pelaburan itu berkata komunikasi mengenai pelaksanaan GST penting berikutan ia akan melibatkan rakyat dan kerajaan perlu memberikan lebih banyak penjelasan dengan menekankan mengenai kemungkinan impak dalam jangka masa pendek dan strateginya untuk mengurangkannya.
"Pembayaran balik GST, yang menjadi isu sebelum ini, perlu diuruskan dengan cekap berikutan sebarang kelewatan tidak memberi sokongan kepada aliran tunai perniagaan apabila kos menjalankan perniagaan boleh terjejas," katanya.
Selain itu, pelarasan dapat dibuat selepas melakukan analisis kos-faedah seperti pada tahap yang dikenakan cukai dan kadar GST, katanya.
Bank pelaburan itu berkata terdapat perbincangan mengenai melaksanakan semula GST baru-baru ini dalam persekitaran krisis berikutan COVID-19 yang dapat meningkatkan keupayaan kerajaan untuk menangani kelembapan ekonomi dengan skim pendapatan sedia ada dan tanpa bergantung kepada hutang negara tambahan.
"Melaksanakan semula GST mempunyai kemungkinan menjejaskan sentimen pengguna yang telah meningkat secara berperingkat jika ia tidak disampaikan dengan jelas kepada rakyat," katanya.
Mengenai inflasi, MIDF berkata kadar inflasi pada purata 2.3 peratus tiga tahun sebelum GST dan tidak jauh berbeza dengan purata 2.7 peratus yang dicatatkan selama tiga tahun selepas GST.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan kemungkinan paras harga meningkat jika GST diperkenalkan semula, pihak berkuasa yang berkaitan perlu memantau pergerakan harga selepas dikuatkuasakan.
Bank pelaburan itu berkata antara aspek penting GST ialah ia dapat mengurangkan kesan cukai bertindih yang lebih kerap berlaku di bawah SST.
Berdasarkan kadar adalah sama, pengguna akan membayar kurang di bawah GST berbanding SST.
Pada masa sama, katanya kerajaan dapat mengelak sebarang kerugian dalam cukai yang tidak dikutip berikutan sistem kutipan yang lebih menyeluruh.
"Walaupun terdapat kontroversi dengan pelaksanaan GST sebelum ini, kita dapat sekurang-kurangnya menyatakan bahawa impak yang positif telah membantu meningkatkan kedudukan fiskal kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#GST
#Malaysia
#kerajaan
#MIDF
#pertimbang semula
#pelaksanaan
#ditambah baik
#Inflasi
#cukai
#Kajian
#Laporan Tematik
#aliran tunai
#perniagaan
#analisis kos-faedah
#paras harga meningkat
#kesan cukai bertindih