Kerajaan belum putus laksana semula GST, nilai semula kekuatan dan kelemahan
Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2020 17:06 MYT
November 4, 2020 17:06 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai kekuatan dan kelemahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum sebarang keputusan dibuat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia selepas wujud cadangan daripada pelbagai pihak termasuk pihak industri, ahli akademik dan orang awam supaya cukai tersebut dilaksanakan kembali.
"Kesesuaian melaksanakan GST atau sebarang model cukai kepenggunaan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kekuatan dan kelemahan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekarang serta kekuatan dan kelemahan model GST yang dilaksanakan pada tahun 2014.
"Selain itu, kajian perlu untuk memastikan kesan keseluruhan pelaksanaan cukai-cukai ini ke atas ekonomi, kos sara hidup rakyat serta keupayaan cukai-cukai ini dalam menangani kegiatan ekonomi gelap.
"Sebarang bentuk cukai kepenggunaan baharu jika diperkenalkan juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan," katanya pada sesi Wawancara Khas Pra-Belanjawan 2021 bersama media secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata adalah menjadi kelaziman untuk Kerajaan mengkaji keberkesanan sistem cukai kepenggunaan seperingkat yang diamalkan di Malaysia pada masa ini iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) berbanding dengan cukai kepenggunaan yang diamalkan oleh kebanyakan negara lain iaitu dalam bentuk cukai kepenggunaan nilai tambah.
"Saya faham, ada pihak yang beranggapan GST adalah sistem cukai yang lebih efisyen dan pungutan lebih besar berbanding SST yang diperkenalkan Pakatan Harapan dahulu.
"Namun kita perlu halusi dan pihak Kementerian Kewangan telah meneliti tetapi belum mencapai satu keputusan.
"Kerajaan akan memberi tahu apakah hasil kajian nanti dan apakah bentuk percukaian untuk masa hadapan kita.
"Ini perkara penting yang harus kita teliti supaya kita wujudkan satu sistem percukaian yang lebih adil, tidak membebankan, lebih efisien dan dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih baik," katanya.