Kerajaan bakal bangun kerangka dasar jadikan Malaysia hab pelaburan hijau serantau - PM
Bernama
Januari 9, 2024 19:14 MYT
Januari 9, 2024 19:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah tersebut juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Terdahulu hari ini, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 bagi tahun ini yang membincangkan mengenai strategi dan hala tuju untuk meningkatkan pelaburan dalam negara.
Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa pelaburan hijau adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan.
"Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.
"Ia diharap akan menjadi pencetus peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Anwar berkata mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Sehubungan itu, katanya, Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF) akan ditubuhkan sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor tersebut.
"Kesemua usaha ini adalah langkah-langkah dalam memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun," katanya.
Menerusi Ekonomi Madani yang di lancarkan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas, Malaysia menyasar untuk meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai.
Tumpuan utama kerajaan adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.
--BERNAMA
#hab pelaburan hijau
#Anwar Ibrahim
#Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
#Perdana Menteri
#Majlis Pelaburan Negara