Kerajaan ambil tindakan tepat tangani ketidaktentuan ekonomi - Nor Mohamed
Anthea Yap
Februari 17, 2016 21:56 MYT
Februari 17, 2016 21:56 MYT
Keupayaan Malaysia untuk menangani ketidaktentuan ekonomi melalui pelbagai kaedah, termasuk pengubahsuaian Bajet 2016, menunjukkan kemampuan barisan kepimpinannya.
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan mengambil tindakan yang betul untuk membawa negara keluar daripada krisis dan semakan semula Bajet 2016 adalah langkah tepat ke arah merealisasikannya.
Beliau yakin Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memantau keadaan ekonomi dengan teliti.
"Tidak ada satu tindakan yang perfect, yang kita buat tentu ada kelebihan dan keburukan tetapi kita kena pilih satu cara yang kelebihannya lebih daripada keburukannya.
"Saya fikir kerajaan sudah mula mengambil langkah betul yang akan membawa kita keluar daripada kemelut," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran bukunya berjudul "Pushing The Boundaries Stories From The Putrajaya Years May 2000 to May 2013" di sini, hari ini.
Buku itu merungkai pengajaran yang diperoleh ketika tempoh Nor Mohamed sebagai Menteri Kewangan Kedua (Mei 2000 - Mei 2013) yang mungkin berguna kepada negara yang sedang berdepan senario ekonomi mencabar.
Buku 374 mukasurat itu merupakan koleksi kenangan beliau semasa memegang jawatan Menteri Kewangan Kedua di Putrajaya.
Kandungan buku itu antara lain termasuk artikel yang disumbangkan oleh personaliti terkenal, ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan dan pegawai tinggi kerajaan.
Merumuskan pada tempoh tersebut, Nor Mohamed berkata penting untuk berfikir di luar kotak, menggunakan saluran dan infrastruktur sedia ada sebanyak mungkin, bersikap fleksibel, sentiasa mempertimbangkan kesan-kesan jangka panjang dan pembangunan institusi adalah penting.