Kerajaan akan umum inisiatif perbelanjaan nilai bagi wang dalam belanjawan 2014

Bernama
September 30, 2013 18:38 MYT
Kerajaan dijangka mengumumkan pelaksanaan inisiatif perbelanjaan nilai bagi wang bagi kementerian-kementerian dalam belanjawan 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata fasa pertama inisiatif itu akan melibatkan empat kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.
"Kita sedang mempertimbangkan perbelanjaan produktif. Di mana-mana kita rasa kita perlu kurangkan, kita akan kurangkan. Tetapi yang lebih penting, saling berbuat demikian, kita perlu berbelanja dengan bijak, dan berbelanja berdasarkan konsep nilai bagi wang.
"Itulah sebabnya kita akan mula memperkenal inisiatif ini dalam belanjawan kali ini. Diharapkan menjelang belanjawan 2015, kita boleh libatkan semua kementerian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Megatrend Khazanah 2013 di sini, Isnin.
Ahmad Husni berkata kerajaan telah menyediakan draf pertama belanjawan, tetapi ia mengambil masa untuk diperhalusi.
"Bagaimanapun, semuanya sudah sedia. Kebimbangan kita adalah kebimbangan negara. Pertumbuhan dalam suku kedua lebih rendah daripada yang disasarkan.
"Kita telah buat unjuran semakan kita, dan nampaknya, kita akan alami defisit empat peratus bagi 2013 dan tahun depan, mencapai pertumbuhan 3.5 peratus," tegas beliau.
Ahmad Husni berkata kerajaan boleh mencapai defisit empat peratus, malah lebih rendah tahun ini, disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang amat ketara, terutamanya daripada pungutan cukai.
"Tahun depan, dengan pengurangan subsidi dan langkah-langkah lain, kita seharusnya dapat mencapai defisit 3.5 peratus," katanya.
Sementara itu, tentang inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Husni berkata peruntukan akan ditambah untuk memberikan bantuan itu dua kali setahun.
"Kita mahu peringkatkan perbelanjaan bagi BRIM. Jika kita bayar sekali, perbelanjaannya juga hanya sekali. Jadi, kita bayar dia kali setahun, perbelanjaan dibuat separuh-separuh dan ini lebih membantu bagi rakyat," tegasnya.
Mengenai desas-desus yang mengatakan subsidi bagi gula mungkin dikurangkan untuk menampung kos tambahan bagi BR1M, Husni berkata: "Itu kita belum putuskan. Kita akan lihat kepada keseluruhan keperluan rakyat.
"Bila kita buat bajet ini, kita lihat, satu, dari segi pendapatan yang akan kita peroleh; kedua dari segi perbelanjaan, bagaimana untuk, bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan, tetapi juga untuk mencapai perbelanjaan yang bernilai tinggi. Jadi, perkara-perkara itu yang sedang kita lihat sekarang," katanya.
#Belanjawan #Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
;