Kerajaan akan teruskan langkah konsolidasi fiskal, pastikan kedudukan kewangan kukuh - MoF

Bernama
Jun 16, 2023 23:18 MYT
MoF berkata kerajaan menggunakan pendekatan membuat pembiayaan semula hutang yang matang menerusi pinjaman baharu dalam usaha mengimbangi kemampuan kewangan supaya terus kekal kompetitif. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi memastikan kedudukan kewangan kukuh sebagaimana pada tahun 1992-1997, kata Kementerian Kewangan (MoF).
Dalam jawapan bertulis pertanyaan lisan 13 Jun yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, MoF berkata kerajaan menggunakan pendekatan membuat pembiayaan semula hutang yang matang menerusi pinjaman baharu dalam usaha mengimbangi kemampuan kewangan supaya terus kekal kompetitif.
"Bagaimanapun, bagi memastikan paras hutang terkawal dan terurus, beberapa langkah kawalan perlu dipatuhi dalam usaha menyelesaikan peningkatan paras hutang," katanya.
Selain meneruskan langkah konsolidasi fiskal, MoF berkata kerajaan juga memperluaskan asas hasil dan memastikan kutipan hasil mampan di mana perbelanjaan mengurus dibiayai sepenuhnya melalui hasil negara dan kerajaan mempunyai lebihan baki semasa yang dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan.
Kerajaan juga memastikan bayaran khidmat hutang terkawal dan tidak melebihi 15 peratus daripada hasil dan pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.
Selain itu, kerajaan turut menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara off-budget dengan menumpukan kepada projek bersifat mega dan projek-projek yang memerlukan aliran tunai yang tinggi setiap tahun.
Dalam usaha mengawal paras liabiliti, Kementerian Kewangan berkata kerajaan akan mengehadkan pemberian jaminan yang pada akhirnya meningkatkan komitmen kewangan kerajaan.
"Kerajaan juga sedang menambah baik pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta (PPP) melalui pendekatan model PPP 3.0 dan akan mewujudkan satu platform single window bagi meneliti projek PPP baharu.
"Platform ini akan diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bersama dengan Kementerian Ekonomi supaya kelulusan projek adalah selaras dengan perancangan pembangunan dan dibiayai menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sedia ada," katanya.
Sementara itu, MoF berkata kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan tiada perubahan drastik atau melampau ke atas nilai ringgit bagi memastikan aktiviti ekonomi tidak terganggu dan keadaan kekal teratur dalam pasaran pertukaran asing.
"Justeru, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting sebagai penyerap kejutan luaran tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik terutamanya dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan global tidak menentu pada masa ini," katanya.
Kerajaan telah mengambil langkah lebih komprehensif seperti mengawal harga barangan dan melalui inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani tekanan inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #Kementerian Kewangan #Parlimen #perancangan pembangunan
;