Kerajaan akan tambah baik GST - Johari

Bernama
Ogos 20, 2017 06:17 MYT
Johari berkata ada peniaga yang berdegil dan cuba lari daripada membayar GST sedangkan ia tidak adil buat peniaga dan rakyat yang membayar. - Gambar hiasan
Kerajaan akan menambah baik kelemahan dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang diperkenalkan sejak 1 April 2015, bagi menjadikan sistem percukaian itu lebih efisien, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata antara cadangan penambahbaikkan adalah memperketatkan aspek penguatkuasaan bagi mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar GST.
"Kita tidak akan ubah sistem ini tetapi kita akan perbaiki banyak benda agar ia lebih efisien, baik bagi kerajaan dan baik bagi generasi akan datang.
"Kita kena buat penguatkuasaan yang begitu teliti dari segi pembayaran GST kerana ada peniaga yang berdegil dan cuba lari daripada membayar GST sedangkan ia tidak adil buat peniaga dan rakyat yang membayar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini pada Ahad.
Johari berkata demikian semasa mengulas tindakan pembangkang yang berterusan memainkan isu GST dan menabur janji akan memansuhkan GST, bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14.
Dalam pada itu, beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai yang disandang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, berdasarkan maklum balas daripada komuniti setempat, selain komitmen padu yang ditunjukkan BN.
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika ditemui pemberita, menawarkan diri sebagai calon kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak kerana berasa bertanggungjawab atas kekalahan lepas.
"Perjuangan saya belum lagi selesai sebab dahulu saya gagal peroleh kerusi Lembah Pantai... untuk PRU kali ini, saya mendapat sokongan daripada akar umbi dan pengundi juga mahukan saya kembali dicalonkan.
"Walaupun kita perlu pastikan kita menang dan yakin dengan kekuatan jentera kita kali ini tetapi jangan pandang senang meskipun sekiranya bersaing dengan pencabar yang tidak dikenali... kali ini BN 'underdog' di Lembah Pantai," katanya.
Pada PRU13, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #cukai #GST #JOHARI ABDUL GHANI #Parlimen Lembah Pantai #pembangkang #pilihan raya umum #PRU14 #Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
;