Kerajaan akan seragam segera peraturan, cukai hotel dan Airbnb
Shuhada Abdul Kadir
September 13, 2020 07:52 MYT
September 13, 2020 07:52 MYT
Kerajaan akan memuktamadkan penyeragaman peraturan dan cukai antara sektor perhotelan dan Airbnb dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan itu perlu disegerakan sebagai langkah memberi nafas baharu dalam sektor pelancongan, selain sebahagian daripada proses pra pemulihan ekonomi negara.
Katanya, tidak dinafikan, pemain industri hotel menanggung beban kesan pandemik COVID-19 lebih tinggi berbanding Airbnb yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan.
"Justeru, beberapa perbincangan telah dan sedang diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta kerajaan negeri bersama jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali yang ditugaskan untuk menyelesaikan karenah sebegini," katanya.
Mustapa berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Sesi Perbincangan serta Libat Urus 'Industri Pelancongan: Sebelum dan Selepas COVID-19', di sini, malam tadi.
"Kita di dalam perniagaan ini ada konsep untuk berlaku adil pada semua. Jadi, kalau satu komponen itu dikenakan pelbagai peraturan, sambil satu sektor lagi tidak, sudah pasti ini tidak adil.
"Dalam konteks itu, jika ada apa-apa yang dapat dibantu oleh KSN, kita sampaikan kepada KSN, mungkin KSN boleh bantu menyegerakan keputusan yang perlu dibuat dalam tempoh terdekat," katanya.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Jabatan Perdana Menteri Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Tan Sri Dr Azlan Ghazali.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan sedia membantu negeri melonjakkan sektor pelancongan menerusi penyaluran peruntukan bagi menaik taraf produk sedia ada.
Katanya, ia merangkumi pelbagai sektor termasuk pembangunan, seperti penyuraian trafik serta menyelenggara produk pelancongan sedia ada.
#Airbnb
#cukai
#ekonomi
#hotel
#jawatankuasa khas
#kerajaan
#Mohd Zuki Ali
#Mustapa Mohamed
#naik taraf produk
#pandemik
#pelancongan
#pemulihan
#Peraturan
#peruntukan
#sektor pelancongan