Kerajaan akan pastikan langkah kawalan untuk selesaikan peningkatan paras hutang dipatuhi
Bernama
Mac 15, 2023 07:40 MYT
Mac 15, 2023 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan beberapa langkah kawalan dalam usaha menyelesaikan peningkatan paras hutang dipatuhi supaya ia terkawal dan terurus, kata Kementerian Kewangan.
Kementerian itu berkata sehingga akhir 2022, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana daripada jumlah itu, hutang dalam negeri adalah sebanyak RM1,050.1 bilion manakala pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.5 bilion.
"Antara langkah tersebut ialah dengan meneruskan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara.
"Selain itu kementerian akan meningkatkan kecekapan perbelanjaan, mengawal dan memastikan peruntukan dibelanjakan dengan berkesan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.
"Kerajaan juga perlu melaksanakan kajian semula perbelanjaan awam (Public Expenditure Review) termasuk langkah rasionalisasi dan keutamaan perbelanjaan," kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.
Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta dinyatakan jumlah hutang terkini kerajaan Persekutuan serta langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengurus hutang secara berkesan.
Menurut kementerian itu lagi, ia juga akan memastikan perbelanjaan mengurus sentiasa dibiayai melalui hasil negara dan sebahagian hasil dapat menampung perbelanjaan pembangunan serta memperluas asas hasil dalam menjadikan kutipan hasil yang mampan yang mana kerajaan perlu mempunyai lebihan baki semasa dan tidak meminjam untuk perbelanjaan operasi.
Bagi strategi seterusnya, kementerian akan memastikan bayaran caj khidmat hutang (debt service charges) terkawal dan tidak melebihi 15 peratus daripada hasil serta pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam jangka masa panjang.
Selain itu kerajaan juga akan mengutamakan pinjaman domestik dengan mengambil kira mudah tunai yang tinggi dan kos pinjaman yang lebih murah serta tidak terdedah kepada risiko tukaran wang asing.
Pada masa yang sama mengukuhkan rangka kerja institusi dan perundangan dengan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal termasuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act), tambahnya.
Akta yang dijangka dibentangkan pada tahun ini mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal, jelas kementerian.
"Di samping itu, langkah kawalan dan pengurangan hutang serta konsolidasi fiskal perlu disokong dengan pelaksanaan strategi hasil jangka sederhana.
"Strategi ini meliputi penambahbaikan sistem percukaian sedia ada, memperluas asas hasil, meneroka potensi hasil daripada sektor tidak formal dan memberi fokus kepada insentif cukai yang lebih bersasar.
"Kesemua usaha dan langkah ini mampu memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan, membina semula ruang fiskal dan seterusnya mengurangkan hutang negara," tambah Kementerian Kewangan.
-- BERNAMA