Keputusan MKN benarkan beberapa sektor tingkatkan kapasiti operasi tepat pada masanya - AmCham
Bernama
April 28, 2020 04:15 MYT
April 28, 2020 04:15 MYT
Dewan Perniagaan Amerika (AmCham) Malaysia menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan semua sektor yang diluluskan untuk meningkatkan kapasiti operasi mereka dan beroperasi sepenuhnya tanpa had waktu.
Ia berkata keputusan itu akan memastikan kesinambungan dan kemampanan perniagaan yang sangat penting dalam membangun kembali ekonomi negara, dan membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Malaysia untuk meneruskan semula perniagaan mereka dan bangkit semula.
"Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global sama ada pengeluar Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di Malaysia, yang membekalkan barang dan perkhidmatan penting di seluruh dunia, atau pengeluar tempatan secara langsung membekalkan kepada syarikat AS di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Siobhan Das berkata syarikat-syarikat ahli AmCham melakukan pelaburan sepenuhnya di Malaysia dan komited untuk terus berjuang dalam menangani wabak tersebut dengan kerajaan.
"Masih banyak sektor yang perlu dibuka untuk menyokong kebiasaan baharu dan dunia yang kini lebih menggunakan digital. Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk menggabungkan kedua-dua perkhidmatan langsung dan sampingan, yang banyak menyokong sektor pembuatan, "katanya.
Dia menyifatkan industri perkhidmatan sama pentingnya untuk masa depan negara.
Namun, beliau berkata ia adalah sangat penting bahawa protokol kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan terus dipatuhi oleh semua.
"Syarikat-syarikat ahli AmCham komited untuk mematuhi semua panduan yang ditetapkan kerajaan dan prosedur operasi standard untuk memerangi wabak ini.
"Kami berkongsi sentimen kerajaan untuk mengutamakan kesihatan masyarakat sambil mengimbangkan ekonomi negara untuk melindungi kelangsungan hidup rakyat serta memastikan ekonomi kekal aktif dan mampan.
"Kami yakin bahawa keterlibatan yang berterusan dan erat antara industri yang terlibat akan menyokong kempen menentang COVID-19 dan membina masa depan yang lebih cerah untuk negara ini," tambahnya.
Dalam satu kenyataan yang berasingan, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) turut menyokong keputusan untuk membenarkan perniagaan yang diberi kelulusan untuk beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga 3 untuk beroperasi semula sepenuhnya dan tidak dikenakan sekatan dari segi waktu operasi .
"Industri ini sangat berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan atas kelonggaran syarat dan sokongan kuat dalam memastikan daya maju dan kesinambungan perniagaan, pengekalan pekerjaan dan untuk kelangsungan ekonomi secara keseluruhan," kata Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai.
Beliau mengulangi gesaan FMM agar pengeluar produk yang tidak penting dibenarkan untuk beroperasi semula dengan kapasiti 50 peratus.
Menyokong kenyataan AmCham, FMM juga mengingatkan industri untuk terus mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh MITI dan KKM.
"Oleh kerana kerajaan bersama dengan sokongan rakyat dan komuniti perniagaan dapat mengawal penyebaran COVID-19, kami yakin kerajaan dapat terus membuka lebih banyak sektor yang akan dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Fasa Empat PKP."
Beliau berkata banyak syarikat sekarang sedang berusaha meneruskan kelangsungan mereka dan perlu segera menghidupkan semula perniagaan mereka agar tidak perlu mengambil keputusan drastik dan langkah-langkah yang akan mendatangkan malapetaka kepada ekonomi dan rakyat.
-- BERNAMA
#AmCham
#beroperasi semula
#COVID-19
#Dewan Perniagaan Amerika Malaysia
#dibuka semula
#digital
#ekonomi
#FMM
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#normal baharu
#perniagaan
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKP
#PKS
#sekatan
#sektor penting
#Siobhan Das
#Soh Thian Lai