Keputusan kerajaan terhadap Duta Korea Utara tidak akan jejaskan ekonomi - Rafidah
Bernama
Mac 6, 2017 22:16 MYT
Mac 6, 2017 22:16 MYT
Ekonomi Malaysia tidak akan terjejas susulan keputusan kerajaan mengisytiharkan Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata'.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Korea Utara bukan merupakan rakan dagang atau rakan kongsi pelaburan penting.
"Penting untuk menjaga hubungan ekonomi dengan rakan kongsi dua hala yang kukuh -- negara yang mempunyai nilai dagangan atau pelaburan ketara," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) antara Institut Pemasaran Malaysia (IMM) dan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof Dr Zulkornain Yusop dan Presiden IMM, Datuk Sharifah Mohd Ismail.
Mengenai unjuran pasaran, Rafidah berkata, tekanan luaran akan berterusan memandangkan ekonomi maju lain masih tidak mencatatkan peningkatan yang baik.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan ekonomi Malaysia berdepan cabaran daripada dolar Amerika Syarikat, euro dan yen yang stabil.
"Ia bukan disebabkan ekonomi Malaysia atau mata wang kita yang lemah, tetapi mata wang utama yang lebih kukuh.
"Tahap tadbir urus ekonomi yang kita ada akan menentukan bagaimana kita menangani cabaran luaran itu," katanya.
Terdahulu, MoA yang dimeterai antara IMM dan PBS adalah mengenai Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) berserta Program Pensijilan Asia Pemasar Profesional Bertauliah (CPM).
Mengikut MoA itu, graduan MBA dalam Pemasaran dari PBS akan turut layak menerima sijil CPM.
-- BERNAMA