Keputusan 4Q21 dijangka beri gambaran prestasi bercampur dalam sektor automotif
Dagang News
Februari 23, 2022 10:50 MYT
Februari 23, 2022 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan keputusan suku keempat 2021 (4Q21) akan mencerminkan prestasi bercampur untuk sektor automotif namun ia dijangka lebih baik berbanding 3Q21 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi tahun ke tahun (YoY) juga dijangka tidak sekata akibat pemulihan pengeluaran kenderaan yang dipengaruhi oleh penawaran vaksin yang berbeza antara pengilang dan vendor.
Katanya, perkembangan unjuran jualan kenderaan (TIV) pada 4Q21 menunjukkan pertambahan 3.2% bagi YoY tahunan dan ia dipacu oleh jualan Proton (15.7%) dan Toyota (20.1%).
"Bagaimanapun, perkembangan tidak sekata ini akan kembali normal menjelang separuh pertama 2022 dengan kebanyakan penggiat industri sudah beroperasi pada kapaiti penuh," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, TIV untuk Januari 2022 adalah sebanyak 40,581 unit dan perkembangan itu dipacu oleh permintaan yang stabil serta disokong oleh pelbagai promosi menjelang Tahun Baharu Cina.
Katanya, jumlah itu mungkin akan bertambah sekiranya vendor di kawasan Lembah Klang tidak terjejas akibat banjir.
"Seperti yang dijangka gangguan bekalan akibat banjir pada Januari 2022 adalah bersifat sementara dan kami mengekalkan unjuran kami bagi 2022F antara 570,000 unit hingga 580,000 unit mewakili pertumbuhan 12% ke 14% bagi perkembangan YoY.
"Sasaran kami adalah lebih kecil berbanding Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 600,000 dan ia adalah lebih rendah berbanding era sebelumpra pandemik kami tetap berhati-hati dengan kekurangan bekalan cip global dan potensi kekangan rantaian bekalan di peringkat global," katanya.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal positif dengan sektor automotif yang dilihat akan kembali sepenuhnya untuk kegunaan pasaran domestik dan prospek mereka dilihat sangat baik berdasarkan tempahan, sokongan kerajaan mengenai cukai, kadar faedah lebih rendah dan pemulihan dari segi pekerjaan.
"Kami membuat saranan 'beli' terhadap BAuto (harga sasaran RM1.98), MBM Resources (harga sasaran RM3.87) dan UMW (harga sasaran RM4.35).
"BAuto sedang mengembangkan struktur perniagaanya dengan mendapatkan jenama Kia dan Peugeot manakala MBM Resources serta UMW merupakan proksi utama dalam pemulihan selain mengawal sebahagian besar dalam sektor itu," katanya. - DagangNews.com