Kepakaran Malaysia jayakan projek lebuh raya terpanjang di Indonesia
Ashwad Ismail
Jun 15, 2015 10:45 MYT
Jun 15, 2015 10:45 MYT
Akus Pratama, 35 tahun, menghela nafas panjang. Tidak pasti, sama ada ia tanda rasa lega atau banyak berfikir; sekurang-kurangnya dia mahu mengukir senyuman.
Sebabnya, dia berasakan perjalanan untuk pulang berhari raya di kampung keluarganya Aidilfitri nanti mungkin lebih baik berbanding dahulu.
Bagi sosok yang bekerja sebagai pemandu untuk menyara hidup di Jakarta, cerita kesesakan jalan atau 'macet' itu bukan hal besar.
Memandu lebih tiga hari tiga malam pun tiada halnya bagi Akus.
Tetapi jika dicanang tentang bermulanya operasi Lebuh Raya Tol Cikopo-Palimanan di bumi Jawa Barat, dia hanya fikir satu - senang balik beraya.
"Kalau mahu pulang ke Cirebon atau kawasan berdekatan, selalu saya guna jalan Pantura (singkatan kepada Jalan Pantai Utara Jawa), 5-6 jam perjalanan dari Jakarta," kata Akus ketika ditemu bual Astro Awani di Cikopo.
Kisah Akus, salah seorang daripada 124 juta warga Kepulauan Jawa yang terus mengimpikan perhubungan serta mobiliti sosial yang lebih baik.
Tambah pula, kebanyakan penduduk di kawasan sepanjang laluan dari Cikopo hingga ke Cirebon hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan tidak lebih RM200 sebulan.
Lebuh raya ini bakal memberi manfaat bagi ramai warga Indonesia termasuk Akus (gambar). - Gambar Astro AWANI/Ashwad Ismail
Kepakaran Malaysia
Malaysia melalui anak syarikat UEM Group Berhad, PLUS Expressways International Berhad tampil dengan jalan penyelesaian -- bina lebuh raya yang baharu.
Lebuh Raya Tol Cikopo-Palimanan sejauh 116.754 kilometer merupakan lebuh raya bertol terpanjang di Indonesia.
Namun, kerjasama pintar awam-swasta ini pun bukan kisah baharu. Macam-macam ranjau ditempuhi sejak perjanjian konsesi untuk tempoh 35 tahun ini ditandatangani pada tahun 2006.
Tetapi, kerja-kerja pembinaannya hanya bermula pada tahun 2013. Dalam tempoh itu, Indonesia pun sudah ada presiden yang baharu.
Projek sulung anak syarikat UEM Group Berhad itu mula beroperasi selepas dirasmikan Presiden Joko Widodo.
"Banyak yang tidak kena dengan pembangunan jalan tol kita, yang harus diperbaiki. Yang perlu diperbaiki ialah regulasinya (peraturan)," kata Jokowi semasa berucap merasmikan lebuh raya itu di Plaza Tol Cikopo.
"Pengambilan tanah sahaja ambil masa enam tahun, kemudian baru boleh mula kerja pembinaan. Yang buat peraturannya kita, jangan kita disulitkan dengan peraturan yang dibuat oleh kita," tambah Jokowi ketika mengetengahkan realiti kerenah birokrasi dan peraturan pengambilan tanah yang menjadi hambatan utama projek tersebut.
Menurut Presiden Direktor PT Lintas Marga Sedaya (LMS) Datuk Roslan Ibrahim, lebuh raya bernilai lebih RM3.5 bilion ini dijayakan melalui usahasama dengan PT Lintas Marga Sedaya (LMS) yang 55 peratus kepentingannya dimiliki oleh PLUS.
Manakala syarikat Indonesia, Baskhara Utama Sedaya, memegang baki kepentingan sebanyak 45 peratus.
"Salah satu sebab mengapa kita menjadi pemegang kepentingan majoriti ialah pihak-pihak bank mahu PLUS Expressways terlibat dalam projek ini, bukan mudah untuk syarikat luar dapat pegangan majoriti di sini," kata Roslan ketika ditemu bual media Malaysia.
Lebuh raya itu jadi alternatif kepada Jalan Pantai Utara Jawa (Pantura), antara jalan yang menghubungkan Jakarta dan bandar-bandar yang lain.
Ia sebahagian daripada Lebuh RayaTrans Jawa sejauh 1,200km, sekali gus mengukuhkan aktiviti ekonomi serta mobiliti masyarakat.
"Dengan lebuh raya ini, perjalanan dari Cikopo ke Palimanan hanya makan masa 1 jam setengah. Laluan sebelum ini makan masa tiga ke lima jam, bergantung kepada keadaan trafik," ujarnya.
Sembilan tahun mengharungi ranjau berniaga di bumi Indonesia dengan penuh sabar nyata membuahkan hasil.
Reputasi positif susulan sentuhan kepakaran PLUS ini membuka peluang lebih besar untuk UEM Group Berhad melebarkan sayapnya di bumi Garuda ini.
Indonesia ada impian besar. Semuanya berbalik kepada apa yang disebut oleh warganya iaitu 'konektivitas'.
Perhubungan yang asasnya adalah infrastruktur jalan raya. Semua impian itu sedang giat direalisasikan oleh Jokowi.