Kenanga Research kekal saranan 'berprestasi tinggi' ke atas MISC

Bernama
Februari 10, 2016 12:58 MYT
Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras FY15 MISC sebanyak RM3.1 bilion, meningkat 58.8 peratus melepasi jangkaan dan 122.8 peratus lebih tinggi berbanding unjuran konsensus. - Gambar fail
Kenanga Research mengekalkan saranan 'berprestasi tinggi' ke atas MISC Bhd, dengan harga sasaran pada RM10.64, susulan keuntungan bersih tahun kewangan 2015 (FY15) yang melepasi jangkaan.
Dalam nota kajiannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras FY15 MISC sebanyak RM3.1 bilion, meningkat 58.8 peratus melepasi jangkaan dan 122.8 peratus lebih tinggi berbanding unjuran konsensus.
Ia berkata prestasi positif itu disumbangkan oleh kadar pajakan bahagian petroleum yang lebih tinggi berbanding jangkaan.
Kumpulan itu juga mengumumkan dividen interim kedua dan akhir masing-masing pada 12.5 sen dan 10.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen pada FY15 sebanyak 30.0 sen, yang mewakili nisbah bayaran 43.4 peratus, kata Kenanga.
"Pada peringkat awal, kami menjangkakan dividen interim akhir sesaham pada 10 sen pada FY15.
"Dividen yang lebih tinggi disumbangkan oleh pelupusan 50 peratus kepentingan berjumlah US$830 juta (RM3.46 bilion) dalam VTTI B.V. kepada VIP Terminals Finance B.V. yang berpangkalan di Belanda pada Ogos 2015," katanya.
Mengenai unjuran ke atas kumpulan itu, Kenanga berkata pengurusan MISC yakin ke atas kadar pajakan yang kukuh dan mantap dalam bahagian petroleum berdasarkan pengeluaran minyak yang stabil selain pertumbuhan kumpulan kapal yang terhad.
Bagaimanapun Kenanga berkata kadar gas asli cecair (LNG) dijangkakan tidak pulih dengan ketara dalam tempoh terdekat ekoran permintaan yang lemah selain kapal dengan lebihan kapasiti.
Firma penyelidikan itu berkata kadar pajakan baharu lima kapal kelas Puteri dan lima yang baru dibina, menunjukkan momentum pertumbuhan pendapatan LNG akan bertahan.
Pada 11.53 pagi, saham MISC didagangkan pada RM8.60, meningkat 12 sen, dengan 1.38 juta saham bertukar tangan.
#FY15 MISC #gas asli cecair #Kenanga Research #MISC Bhd #petroleum
;