Kenanga Research jangka harga resin stabil walaupun harga minyak mentah tinggi
Dagang News
Mei 27, 2022 13:11 MYT
Mei 27, 2022 13:11 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun berlaku kenaikan harga minyak mentah dunia melebihi AS$100 (RM438) setong dan gangguan rantaian bekalan dunia, Kenanga Research menjangkakan harga resin global akan kekal stabil sehingga 1HCY22.
Firma itu menggemari Thong Guan Industries Berhad kerana memiliki permintaan produk yang stabil, pengembangan kapasiti untuk produk permium bagi perkembangan jangka panjang dan kadar tukaran asing Dollar Amerika Syarikat yang tinggi juga memberi manfaat kepada mereka.
Katanya, menerusi pembukaan kilang baharunya, firma itu menjangkakan peningkatan pengeluaran produk bagi memenuhi pasaran untuk filem pembungkusan dan bagasi penghantaran barang manakala pemasangan tiga talian pembuatan premium dijangka siap pada 2QCY22.
"Pembukaan semula aktiviti ekonomi telah memacu sektor makanan dan kami melihat bahagian pembungkusan makanan Thong Guang semakin berkembang selepas mencatatkan kerugian pada FY21 akibat kawalan pergerakan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan itu akan terus berdepan cabaran seperti kekurangan tenaga pekerja, peningkatan kos pembuatan akibat pelaksanaan gaji minimum dan perubahan minat pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 meningkat sebanyak 13% kepada RM24.6 juta daripada RM21.77 juta hasil jualan pada harga yang lebih tinggi terhadap produk mereka.
Pendapatan kumpulan meningkat 18.03% kepada RM333 juta daripada RM282.14 juta disumbangkan oleh segmen produk pembungkusan plastik termasuk makanan, minuman dan poduk lain.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Thong Guan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.90 berdasarkan kepada permintaan yang stabil dan perkembangan berterusan untuk pengembangan kapasiti pengeluaran produk premiumnya.
"Terdapat beberapa cabaran yang perlu diberikan perhatian termasuk penurunan purata harga jualan yang lebih cepat, turun naik kadar tukaran mata wang asing, kekurangan tenaga pekerja dan margin keuntungan lebih rendah daripada jangkaan," kataya.
*Artikel asal disiarkan di .