Kenanga Research jangka BNM kekal OPR pada paras 3% untuk jangka sederhana

Dagang News
Julai 10, 2023 11:40 MYT
Kenanga Research berkata, penyederhanaan berterusan dalam faktor kos mungkin terus memacu kedua-dua inflasi teras dan utama lebih rendah pada bulan-bulan akan datang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memilih untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3% untuk jangka sederhana.
Kenanga Research berkata, penyederhanaan berterusan dalam faktor kos mungkin terus memacu kedua-dua inflasi teras dan utama lebih rendah pada bulan-bulan akan datang.
"Bagaimanapun, BNM berkemungkinan mengekalkan pendekatan berdasarkan data sebelum membuat sebarang keputusan.
"Perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi dan kawalan harga serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, BNM mengekalkan OPR pada paras 3 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Khamis lalu.
Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
Firma itu berkata, unjuran akhir tahun dolar Amerika Syarikat (AS) dan Ringgit Malaysia (4.29; 2022: 4.40), walaupun sentimen pasaran menolak risiko dan prospek ekonomi China yang lemah.
Firma itu juga mengekalkan pandangan positif tentang prospek ringgit dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
"Kami menjangkakan ringgit berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan dalam ekonomi China di tengah-tengah jangkaan peningkatan rangsangan monetari dan fiskal yang semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com
#OPR #Bank Negara Malaysia #Kenanga Research #Jawatankuasa Dasar Monetari
;