Kenanga kekal unjuran pertumbuhan eksport 2024 pada 7.3 peratus

Bernama
September 20, 2024 04:00 MYT
Kenanga Investment kekal optimis Malaysia akan mencapai KDNK sebanyak 5.0 peratus tahun ini berikutan prestasi kukuh separuh pertamanya. - Gambar fail/Kenanga
KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan prospek pertumbuhan eksport yang positif dengan mengunjurkan kadar pertumbuhan pada 7.3 peratus tahun ini berdasarkan petunjuk semasa.
Bank itu menjelaskan, meskipun pertumbuhan eksport mencapai 6.0 peratus bagi lapan bulan pertama 2024 tahun ke tahun, iaitu peningkatan 5.1 peratus dalam tujuh bulan, ia masih di bawah sasaran setahun penuh.
"Walaupun momentum positif, namun risiko penurunan pertumbuhan eksport semakin meningkat. Ia termasuk potensi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pemulihan China yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Terutamanya apabila eksport ke China dilihat menurun 2.0 peratus tahun setakat ini, tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh permintaan AS yang kukuh, yang melonjak 18.8 peratus dalam tempoh yang sama," kata bank itu menerusi Sudut Pandang Ekonomi terbaharunya.
Kenanga Investment berkata, kelemahan yang ketara ekonomi AS boleh mengancam prospek eksport Malaysia.
"Selain itu, memandangkan import terus berkembang lebih pantas berbanding eksport, kami menjangkakan lebihan dagangan mengecil dalam tempoh terdekat, yang boleh menekan baki akaun semasa," katanya.
Perdagangan Malaysia meneruskan prestasi cemerlangnya pada Ogos, meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun kepada RM252.65 bilion, kadar pertumbuhan terpantas dalam 22 bulan.
Eksport merosot sedikit kepada 12.1 peratus pada Ogos berbanding 12.3 peratus pada Julai tetapi mengatasi jangkaan konsensus 11.8 peratus.
Import juga melonjak ke paras tertinggi dalam 22 bulan pada 26.2 peratus, jauh melebihi anggaran konsensus sebanyak 21.2 peratus.
Kenanga Investment kekal optimis Malaysia akan mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus tahun ini berikutan prestasi kukuh separuh pertamanya.
Pertumbuhan dijangka kekal berdaya tahan sepanjang tahun, didorong oleh aktiviti domestik yang teguh dan perdagangan luar yang bertambah baik, disokong sebahagiannya oleh kesan asas yang rendah.
"Bagaimanapun, kami mengunjurkan pertumbuhan kepada sederhana kepada 4.8 peratus pada 2025, memandangkan pertumbuhan global, terutamanya dalam ekonomi maju, dijangka perlahan," katanya. - BERNAMA
#KDNK #Kenanga Investment #pertumbuhan eksport #kelembapan ekonomi
;