Kenanga Investment Bank jangka e-invois beri kesan terhad ke atas jualan kereta

Bernama
Disember 9, 2024 05:45 MYT
Kenanga Investment menegaskan kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 akan membantu memulihkan sebahagian kuasa beli mereka, yang sebelum ini terjejas disebabkan inflasi. - Gambar fail/Kenanga
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-invois memberi kesan yang terhad ke atas jualan kereta apabila pengeluar kereta meningkatkan usaha memberikan diskaun dan rebat bagi mengekalkan permintaan dan mengurangkan kebimbangan pengguna, kata Kenanga Investment Bank Bhd, pada Isnin.
Dalam nota penyelidikan pada Isnin, bank pelaburan itu menjelaskan, e-invois yang bertujuan meningkatkan ketelusan dalam urus niaga kewangan, secara berkesan menghentikan amalan meluas yang menawarkan pembiayaan sewa beli sehingga 100 peratus.
Di bawah Akta Sewa Beli 1967, pelanggan dikehendaki membayar minimum 10 peratus bagi bayaran pendahuluan untuk pembelian kenderaan.
Sementara itu, Kenanga Investment menekankan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini dijangka mengurangkan kos alat ganti automotif bermula pada separuh kedua 2025 serta meningkatkan margin, kerana pembuat kereta biasanya memperoleh inventori enam bulan lebih awal daripada pengeluaran untuk memastikan bekalan yang mampan.
Bank pelaburan itu berkata, pasaran automotif tempatan menunjukkan tanda-tanda trajektori dwi-kelajuan, satu trend yang dijangka berterusan sehingga 2025.
"Ia akan menjadi perniagaan seperti biasa untuk segmen mampu milik, yang menyasarkan kumpulan seperti B40 memandangkan kesan daripada rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku adalah minimum. Selain itu, kumpulan ini boleh mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif," katanya.
Kenanga Investment juga menegaskan kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 akan membantu memulihkan sebahagian kuasa beli mereka, yang sebelum ini terjejas disebabkan inflasi.
Bagaimanapun, segmen pasaran pertengahan yang menyasarkan kumpulan M40, mungkin menghadapi cabaran kerana pelanggan ini mungkin menangguhkan pembelian kenderaan baharu, memilih kereta yang lebih kecil atau beralih kepada kenderaan elektrik (EV) untuk menguruskan kos bahan api selepas rasionalisasi subsidi bahan api, katanya.
Bank itu menekankan penggunaan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang semakin meningkat, disokong oleh insentif seperti pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan faedah kemudahan EV yang sah sehingga 2025 untuk unit yang diimport sepenuhnya dan 2027 untuk unit pemasangan tempatan.
Ia berkata data daripada Kementerian Pengangkutan menunjukkan pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022, 10,159 unit pada 2023, dan hampir 16,000 unit untuk sembilan bulan 2024, atau 3.0 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).
Kenanga Investment menjangka kerajaan bakal memperkenalkan lebih banyak insentif, menyasarkan matlamat nasional untuk EV dan hibrid bagi membentuk 15 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.
Selain itu, kerajaan juga dijangka mempercepatkan proses kelulusan stesen pengecas EV, katanya.
Pada masa ini, sebanyak 4,225 stesen telah dicadangkan, dengan 3,354 sudah beroperasi dan angka ini diunjurkan hampir tiga kali ganda kepada 10,000 stesen menjelang akhir 2025, tambahnya. - BERNAMA
#Inflasi #pelaburan #penjawat awam #subsidi
;