Kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS beri tekanan tambahan kepada sektor teknologi

Dagang News
Ogos 12, 2024 05:00 MYT
Firma penyelidikan itu berkata, industri semikonduktor kini sedang dalam kitaran menaik berdasar pemulihan dalam jualan mudah alih serta peningkatan perbelanjaan untuk pusat data. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Kenaikan nilai ringgit sebanyak 7% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak empat minggu lalu memberikan tekanan tambahan kepada sektor teknologi kerana majoriti syarikat teknologi memperoleh hasil jualan dalam dolar AS.
CGS International berkata, bagaimanapun sebahagiannya dilindungi beberapa elemen kos berkaitan dengan bahan mentah dan komponen yang dianggarkan membentuk antara 30% hingga 45% daripada kos operasi.
Katanya, syarikat seperti Unisem (M) Bhd dan ViTrox Corp Bhd mempunyai hutang dalam denominasi dolar AS, yang menyediakan perlindungan nilai tambahan terhadap pengukuhan ringgit.
"Syarikat teknologi tempatan sebahagian besarnya berada dalam kedudukan tunai bersih kukuh, menekankan ketahanan kunci kira-kira mereka dan keupayaan untuk melakukan usaha pengembangan tanpa perlu melakukan sebarang usaha tambahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, industri semikonduktor kini sedang dalam kitaran menaik berdasar pemulihan dalam jualan mudah alih serta peningkatan perbelanjaan untuk pusat data.
Katanya, selain itu, dasar yang diterajui kerajaan, seperti Dana Besar China 3.0 dan Strategi Semikonduktor Malaysia, menyediakan peluang pertumbuhan jangka panjang untuk sektor itu melalui sokongan fiskal, pertumbuhan bakat dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).
Kesemuanya boleh mengukuhkan lagi rantaian bekalan domestik dan mengurangkan gangguan pesanan yang timbul daripada sekatan import yang berterusan terhadap industri semikonduktor China oleh kerajaan AS.
"Kami melihat China ialah pasaran pertumbuhan utama bagi syarikat semikonduktor tempatan yang ingin mempelbagaikan berdasarkan potensi kelembapan permintaan daripada pasaran AS & Kesatuan Eropah (EU)," katanya.
CGS International kekal 'neutral' terhadap sektor teknologi Malaysia memandangkan prospek industry bertambah baik didorong pemulihan dalam segmen mudah alih tetapi dibebani kelemahan segmen automotif.
Pilihan utama sektor itu ialah Genetec Technology Bhd kerana pendedahannya kepada industri penyimpanan tenaga kenderaan elektrik dan bateri pada penilaian munasabah 12x FY25F.
"Bagaimanapun sektor itu berdepan beberapa cabaran termasuk pemulihan permintaan yang lemah, kegagalan projek untuk direalisasikan dan perang cip berterusan antara China dan AS," katanya. - DagangNews.com
#dolar AS #pelaburan langsung asing #tekanan tambahan #sektor teknologi