Kenaikan harga roti Massimo tingkatkan margin keuntungan operasi produk pengguna PPB Group

Dagang News
Oktober 17, 2022 10:32 MYT
Kali terakhir roti Massimo mencatatkan kenaikan harga adalah pada Januari 2022 manakala pesaing mereka, Gardenia telah menaikkan harga roti mereka pada awal September 2022. - Foto Facebook Massimo Bread
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga roti Massimo akan membantu memperbaiki margin keuntungan operasi bahagian produk pengguna PPB Group Berhad.
AmInvestment Bank Berhad berkata, kenaikan antara 10 hingga 60 sen bermula Sabtu lalu adalah kesan daripada kenaikan kos logistik dan bahan mentah selain kos pembungkusan.
Firma itu berkata, kali terakhir roti Massimo mencatatkan kenaikan harga adalah pada Januari 2022 manakala pesaing mereka, Gardenia telah menaikkan harga roti mereka pada awal September 2022.
"Bagaimanapun, pendapatan daripada segmen itu tidak banyak memberi kesan kepada kumpulan keranan lebih 80% hasil pendapatan mereka adalah daripada Wilmar International," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bahagian produk pengguna mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14 juta pada 1HFY22, hanya 1.4% daripada keuntungan bersih PPB sebanyak RM997 juta.
Massimo diklasifikasikan di bawah bahagian produk pengguna kumpulan itu.
Katanya, walaupun harga gandum mula mencatatkan penurunan namun dolar Amerika Syarikat telah meningkat sebanyak 13% sejak dari awal tahun ini.
Peningkatan dolar berbanding Ringgit Malaysia menyebabkan kos import yang lebih tinggi kerana gandum diimport dalam mata wang dolar.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM19.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com
#roti Massimo #naik harga #harga gandum #produk pengguna
;