Kenaikan harga minyak dijangka pacu pasaran getah minggu depan

Bernama
April 8, 2017 03:00 MYT
Pada Khamis malam waktu tempatan, Amerika Syarikat melancarkan 50 peluru berpandu jenis Tomahawk dari kapal Navy Destroyer terhadap pangkalan udara Syria sebagai tindak balas terhadap serangan gas Syria. Gambar fail REUTERS
Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat pada minggu depan berikutan unjuran peningkatan harga minyak mentah global, kata peniaga.
Ia susulan laporan tindakan Amerika Syarikat melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan udara Syria pada Jumaat yang melonjakkan harga minyak mencecah paras tertinggi dalam masa hampir sebulan pada hari sama.
Seorang peniaga menyifatkan kenaikan harga bahan api itu akan menjadikan getah sintetik lebih mahal, sekaligus meningkatkan harga getah asli.
Selain itu, laporan mengenai rancangan Thailand menubuhkan sebuah pusat ujian tayar dan kenderaan bertaraf antarabangsa yang pertama di negara itu pada tahun depan juga dijangka turut merangsang permintaan terhadap komoditi itu.
"Laporan itu menyatakan pusat bernilai US$107.6 juta yang bakal beroperasi sepenuhnya pada 2019, akan dimanfaatkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.
"Ini akan menjadikan negara itu sebagai hab serantau untuk produk automotif generasi baharu," katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran didagangkan secara bercampur-campur yang kebanyakannya dipacu oleh penyusutan harga minyak mentah serta stok simpanan getah di pelabuhan-pelabuhan Jepun.
Ia juga seiring dengan prestasi pasaran hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 31.5 sen kepada 767 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 7.5 sen kepada 664 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 menokok tiga sen kepada 760 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 11 sen kepada 662.5 sen sekilogram. -- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Bursa Komoditi Tokyo #harga minyak #pasaran getah #peluru berpandu #pusat ujian tayar dan kenderaan #serangan #Thailand