Kenaikan cukai perkhidmatan 8% beri kesan kos operasi, unjuran pendapatan Nestle Malaysia dikurangkan
Dagang News
April 30, 2024 10:30 MYT
April 30, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Cukai perkhidmatan yang diperluas dan dinaikkan kepada 8% sejak 1 Mac 2024 menyebabkan Nestle (Malaysia) Berhad berhadapan dengan kos pengangkutan dan gudang yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
Malah menurut MIDF Research, perbelanjaan operasi bagi 2024 juga diramal bertambah lagi susulan rasionalisasi bahan api yang berkemungkinan dilaksanakan dalam separuh kedua 2024 (2HCY24).
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan Nestle Malaysia bagi FY24, FY 25 dan FY26 masing-masing kepada -2.2%,-4% dan -5.9% setelah mengambil peningkatan perbelanjaan operasi dan kelemahan sentimen pengguna akibat tekanan inflasi.
"Sentimen pengguna dijangka lebih lemah berikutan prospek inflasi dengan keutamaan mereka kepada produk yang lebih murah dan keluaran tempatan sekali gus menjadikan persaingan sengit (kepada Nestle)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MIDF Research pada masa sama turut menurunkan harga sasaran (TP) Nestle Malaysia daripada RM127 sesaham kepada RM126 sesaham dengan mengekalkan saranan 'Neutral'.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan harga susulan kenaikan koko, kopi dan tomato membolehkan kumpulan mengurangkan hakisan margin keuntungan untuk siri produk tertentu, terutamanya "MILO," "Nescafe" dan "Sos tomato Maggi.
"Melangkah ke hadapan, kami berhati-hati terhadap sentimen pengguna yang melemah mengenai produk F&B, yang akan kekal hambar di tengah-tengah prospek inflasi yang meningkat, isu geopolitik dan pertukaran matara wang yang tidak menentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Nestle Malaysia naikkan harga 22 produknya mulai 1 Julai 2024 hingga 6 peratus
"Ini boleh menyebabkan pengguna memilih produk yang lebih murah dan keluaran tempatan," jelasnya.
Sementara itu, RHB Investment turut menjangkakan perbelanjaan pengguna Malaysia tidak menarik pada masa hadapan terutama berikutan tekanan inflasi yang merupakan salah satu cabaran buat Nestle.
Katanya, selain itu, ketidaktentuan pasaran komoditi akan menjadi satu lagi cabaran utama bagi kumpulan itu kerana Nestle telah meletakkan kenaikan harga bagi produk terpilih mulai Jun-Jul 2024, terutamanya untuk menaikkan kos input koko dan kopi yang lebih tinggi.
"Pelarasan selanjutnya akan bergantung pada pergerakan harga komoditi dan pertukaran mata wang saing," katanya sambil percaya asas-asas Nestle yang kukuh akan menghasilkan daya tahan pendapatan dan menyokong pembayaran dividen yang besar. - DagangNews.com