Kempen Saya Digital bantu pulih ekonomi, lahir rakyat celik teknologi

Ehsan A Marisah
Disember 23, 2022 14:27 MYT
MDEC bertindak proaktif membawa perubahan masyarakat untuk merebut peluang ekonomi digital melalui kempen Saya Digital. - Foto MDEC
USAHA berterusan mempertingkat literasi digital dalam kalangan rakyat dilihat berupaya mewujudkan masyarakat celik teknologi, terutama ketika negara menempuh era kepesatan ekonomi digital masa kini dan ke arah negara berpendapatan tinggi.
Ia juga bakal menyaksikan setiap lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar memiliki kemahiran tinggi, kreatif dan pemikiran kritis untuk pasaran kerja, sekali gus menjadikan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi lebih sejahtera.
Menyedari kepentingan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertindak proaktif membawa perubahan masyarakat untuk merebut peluang ekonomi digital melalui kempen Saya Digital yang dimulakan pada 2020.
Kempen berkenaan mendedahkan rakyat kepada pelbagai inisiatif ekonomi digital sedia ada yang memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Perniagaan, Saya Digital Pendapatan dan Saya Digital Modal Insan yang menyaksikan usaha berterusan MDEC membantu rakyat dan perniagaan tempatan meningkatkan pendigitalan.
Saya Digital Literasi
Rakyat sebagai pengguna digital akan ditawarkan ilmu pengetahuan asas literasi digital oleh Geng Saya Digital menggunakan tiga modul komprehensif.
Modul pertama memfokuskan komunikasi digital bagi membolehkan rakyat mempelajari penggunaan aplikasi WhatsApp, Facebook dan menyunting video pendek untuk TikTok.
Seterusnya modul kedua ialah transaksi digital yang menawarkan cara menggunakan perkhidmatan bank dalam talian dan melakukan pembayaran menerusi e-dompet dan modul ketiga pula menekankan aplikasi digital dengan peluang mempelajari pembayaran bil, tempahan perkhidmatan e-hailing, makanan dan barangan runcit secara dalam talian.
Saya Digital Perniagaan
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak perlu lagi bimbang untuk memasarkan produk di platform e-dagang secara meluas apabila pelbagai program disediakan mengikut kesesuaian dan keperluan perniagaan.
Antara ditawarkan ialah inisiatif eUsahawan yang menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital dalam kalangan PMKS dan usahawan muda.
Inisiatif 100 Go Digital akan membimbing perniagaan tradisional ke arah pendigitalan, meningkatkan kecekapan dan khidmat pelanggan manakala Go-eCommerce menjadi platform pembelajaran keusahawanan dengan teknik dan kaedah memajukan perniagaan dalam talian.
Ia membantu perniagaan memperbaiki kecekapan kos dan meningkatkan produktiviti, selain menangani perubahan tren pasaran serta tingkah laku pengguna.
PMKS boleh mengikuti semua program ditawarkan dengan sekurang-kurangnya memiliki kemahiran asas digital.
Peserta program eUsahawan dan pemilik MM Kitchen, Maisarah Mohamed Maliki, 27, yang menceburkan diri dalam perniagaan bakeri menerusi jenama roti paung di Kuantan, Pahang pada 2020 berjaya meningkatkan kemahiran digital apabila dia semakin mahir dalam pemasaran digital menggunakan platform seperti iklan di Facebook, Google termasuk penulisan iklan (copywriting) selepas mengikuti program asas eUsahawan, eUsahawan Plus dan Boot Camp.
Selepas mengikuti program berkenaan, perniagaan roti pelbagai perasa yang diusahakan bekas guru sekolah tadika itu terus dikenali ramai dan mendapat permintaan tinggi hingga hasil jualan meningkat 500 peratus pada bulan pertama.
Maisarah memulakan operasi perniagaan roti di rumah sendirian dan kini sudah mempunyai tiga orang pembantu malah berupaya menghasilkan sehingga 120 kilogram roti setiap bulan, selain berhasrat memperluas jenamanya dan merancang menambah kakitangan serta ejen jualan ke seluruh negara.
Saya Digital Pendapatan
Seterusnya, rakyat juga berpeluang menjana pendapatan dalam ekosistem ekonomi gig yang mampan menerusi program eRezeki dan GLOW.
eRezeki membolehkan rakyat, terutama kumpulan berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan dengan melakukan tugasan digital melalui platform penyumberan ramai (crowdsourcing) dalam talian dan peserta akan dipadankan dengan kerja digital selaras dengan kemahiran masing-masing.
Setakat Disember 2021, eRezeki berjaya melatih seramai 312,735 peserta golongan B40 dan M40 dengan jumlah pendapatan kolektif sebanyak RM2.51 bilion.
Manakala Global Online Workforce (GLOW) akan membimbing pekerja bebas digital (digital freelancer) tentang cara membuat profil atau portfolio professional termasuk panduan berkesan menyelia pelbagai platform digital.
Sejak dilancarkan pada 2016, GLOW telah berjaya melatih kira-kira 73,198 peserta dan membantu mereka menjana pendapatan terkumpul lebih RM240 juta.
Peserta program eRezeki, Suliza Sulaiman, 47, dari Selangor berjaya membuka mata ramai bahawa golongan asnaf sepertinya juga mampu keluar dari kepompong kemiskinan malah menjadi penyumbang zakat dengan menjalani perkhidmatan urutan terapi dan penjagaan ibu berpantang.
Dia yang dulu berniaga nasi lemak dan kuih-muih mengakui pendapatannya tidak menentu, namun tekad mahu keluar dari kelompok asnaf dan mengambil keputusan mengikuti kursus My Bidan House.
Tidak mahu terlalu selesa, Suliza kemudian menyertai program eRezeki anjuran MDEC dan mempraktikkan kemahiran digital yang diperoleh sepanjang program berkenaan dan kini, purata pendapatan yang berjaya diperoleh mencecah sehingga RM15,000 sebulan berbantukan aplikasi pintar atau dari rumah ke rumah.
Saya Digital Modal Insan
Rakyat dipupuk sejak daripada akar umbi untuk komited memperkasakan pembangunan kerjaya menerusi program #mydigitalmaker, Let’s Learn Digital (LLD) dan Digital Up.
Program #mydigitalmaker akan membina bakat generasi muda untuk bersedia dengan kerjaya digital masa hadapan melalui pelbagai platform khas untuk mengasah kemahiran pengekodan, pembangunan aplikasi, percetakan 3D, robotik, pengaturcaraan dan menganalisis data.
Di samping itu, LLD menyediakan lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk meningkatkan kemahiran diri melalui kursus teknologi digital dalam bidang sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan, perkhidmatan perniagaan global digital, teknologi kewangan (FinTech), pemasaran digital dan awan.
Digital Up akan memastikan tenaga kerja semasa akan kekal relevan dengan menggalakkan mereka meningkatkan kemahiran diri dalam kursus dan program berkaitan teknologi digital.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan dalam kempen Saya Digital MDEC, boleh melayari www.mdec.my/sayadigital atau sertai siri Jelajah Saya Digital yang akan berlangsung di seluruh negara.
Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
**Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#MDEC #Saya Digital #PMKS #literasi digital
;