Kemeriahan raya dalam penerbangan Malaysia Airlines

Bernama
Ogos 3, 2013 10:06 MYT
Malaysia Airlines (MAS) akan menghidangkan menu istimewa pada hari pertama dan kedua Aidilfitri selain promosi diskaun tambang bagi perjalanan selepas Hari Raya.
Bagi kedua-dua hari itu, penumpang akan dihidangkan dengan nasi impit dan rendang ayam, kuah lontong dan kuah kacang bagi kelas perniagaan, dan nasi minyak dengan rendang ayam dan sayur campur bagi kelas ekonomi.
Syarikat penerbangan nasional itu akan juga menyajikan juadah Melayu yang popular seperti dodol dan kuih tat nenas sebagai tawaran tambahan kepada penumpang pada hari raya pertama.
"Menyambut perayaan dengan penumpang-penumpang yang kami hormati amat penting. Kami ingin memberikan pengalaman berhari raya kepada mereka yang membuat perjalanan pada kedua-dua hari ini," kata Pengarah Perkhidmatan Pelanggan Malaysia Airlines, Datuk Mohd Salleh Ahmad Tabrani, dalam satu kenyataan.
Hidangan itu disediakan khusus oleh tukang masak syarikat dan bertujuan menghasilkan cita rasa asli tempatan.
Selepas musim perayaan, syarikat itu akan menawarkan tambang promosi bagi penerbangan dalam seluruh rangkaiannya.
Pelanggan-pelanggan boleh mula menempah tambang ini dari 5 Ogos hingga 25 Ogos, bagi tempoh perjalanan bermula pada 19 Ogos, 2013 hingga 31 Mei, 2014.
MAS menawarkan diskaun hingga 50 peratus bagi destinasi domestik, tambang pergi balik termasuk semua bagi kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bermula dari RM290, manakala ke Pulau Pinang dan Johor Bahru, tambang itu bermula masing-masing dari RM150 dan RM170.
Bagi penumpang kelas perniagaan, tambang pergi balik termasuk semua dari Kuala Lumpur bermula dari RM599 ke Kota Bahru dan Langkawi, manakala ke Kota Kinabalu dan Kuching tambang bermula dari RM1,099.
Tiket-tiket ke destinasi antarabangsa terpilih juga dijual. Bagi kelas ekonomi, tambang pergi balik termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Phuket bermula dari RM299 manakala tambang bagi perjalanan ke Kunming bermula dari RM799.
Pelanggan-pelanggan juga boleh memilih perjalanan kelas perniagaan ke Sydney dengan tambang bermula dari RM6,299 dari Kuala Lumpur atau tambang kelas perniagaan pergi balik termasuk semua ke Bali dan Bangkok yang bermula dari RM1,229.
#Aidilfitri #Malaysia Airlines
;