Kementerian Pengangkutan sedia kaji insurans tambahan penerbangan
Adie Sufian Zulkefli
September 3, 2017 17:33 MYT
September 3, 2017 17:33 MYT
Kementerian Pengangkutan sedia mengkaji keperluan untuk mewajibkan setiap penumpang kapal terbang mengambil insurans perjalanan melalui syarikat penerbangan, ketika melancong ke luar negara.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada permintaan syarikat penerbangan kerana pihak terbabit perlu menanggung implikasi kos untuk tujuan itu.
“Sebenarnya semua syarikat penerbangan ada insurans untuk semua penumpang. Contohnya MH17, MH370 berlaku tragedi, memang ada pampasan.
“Kalau hendak ada tambahan, kita kena tengok insurans peribadi. Kita tidak tahu apa isu yang timbul sekarang kerana memang tidak ada isu sebenarnya sekarang semua travel yang mengunakan penerbangan yang sedia ada memang dah ada insurans,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Mengenai Keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.
Beliau menjawab laporan yang berkata mengikut trend perjalanan rakyat Malaysia, hanya 34.6 peratus rakyat Malaysia yang membeli insurans perjalanan ketika melancong ke luar negara atau melawat lokasi mencabar.
Liow pada masa sama mengakui cadangan mewajibkan pembelian perlindungan insurans perjalanan itu perlu dikaji secara teliti terutama apabila ia bermungkinan menimbulkan kos kepada syarikat penerbangan.