Kementerian Kewangan rancang bentang Akta Tanggungjawab Fiskal pada akhir tahun - Tengku Zafrul
Bernama
Jun 17, 2022 16:18 MYT
Jun 17, 2022 16:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan merancang untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) kepada Parlimen menjelang akhir tahun ini yang akan turut merangkumi strategi hasil jangka sederhana dan prinsip panduan mengenai aspek seperti asas hasil lebih luas serta had hutang statutori.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sesebuah negara mesti diselia dan dikawal dengan ketat dari segi kewangan supaya ia mempunyai sumber mencukupi untuk melaksanakan program reformasi yang sesuai dan memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.
"Semua ini, dan banyak lagi, juga dikongsikan dalam Kenyataan Pra-Bajet yang diterbitkan baru-baru ini, yang menetapkan keutamaan Kementerian Kewangan untuk Bajet 2023," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-99 yang dikeluarkan hari ini.
Tengku Zafrul berkata sejak 2020, Kementerian Kewangan memberi fokus kepada pembinaan daya tahan sosioekonomi supaya rakyat dan perniagaan boleh bangkit semula dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini, sekiranya krisis seperti COVID-19, atau lebih serius, datang melanda pada masa hadapan.
Menurutnya, kementerian itu dipandu oleh tiga prinsip utama iaitu responsif, bertanggungjawab dan reformis untuk membina asas bagi pembaharuan jangka panjang.
"Seboleh-bolehnya, pelbagai dasar adalah berasaskan kepada prinsip (ESG) serta pertimbangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," katanya.
Beliau berkata berkata reformasi berlandaskan ESG mampu membina daya tahan sosioekonomi jangka panjang dan boleh menjadi pertahanan terbaik terhadap kejutan dan pandemik pada masa depan.
"Malah, usaha negara ke arah kelestarian sudahpun bermula dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd telahpun melancarkan rangka kerja dan sasaran kemampanan masing-masing," tambahnya.
-- BERNAMA