Kementerian Kewangan cadang kenakan cukai pada perniagaan atas talian

Astro Awani
Mei 17, 2016 16:39 MYT
LHDN yang telah wujudkan 'bahagian perniagaan atas talian dan perdagangan' dan juga bekerjasama dengan SSM untuk membuat penilaian berkenaan. - Gambar hiasan
Kementerian Kewangan bercadang untuk mengenakan cukai kepada perniagaan atas talian tahun depan.
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, ini didorong kemajuan yang dicapai sektor berkaitan internet.
Tambahnya, kementerian telah meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan penilaian penuh perkara berkenaan.
“Penilaian dan kajian menyeluruh, bagi mengenakan cukai kepada mereka ini (peniaga atas talian) yang mendapat pendapatan yang boleh dicukai.
“Jika tidak, ia akan merupakan kerugian pendapatan terhadap kerajaan. Bergerak ke hadapan, banyak perniagaan berpindah ke ekonomi digital, sebab itu pungutan cukai kita perlu cekap dan melihat ke bahagian ini bersesuaian dengan transformasi ekonomi,” ujarnya.
Tambahnya, LHDN yang telah mewujudkan 'bahagian perniagaan atas talian dan perdagangan' dan juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk melakukan penilaian berkenaan.
Beliau memberi contoh, dalam kajian yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menunjukkan pendapatan pemandu Uber dan Grab Car yang mencecah RM7,000 sebulan.
Menurut beliau, ini adalah dalam lingkungan pendapatan yang boleh dicukai.
#cukai #Kementerian Kewangan #LHDN #mohd irwan siregar abdullah #peniaga atas talian #peniaga online
;